‘Saya ikhlas berkhidmat untuk Kota Anggerik’

SHAH ALAM - Calon BN bagi Dun Kota Anggerik sedar bukan mudah untuk merampas kerusi berkenaan namun optimis kejayaan akan menyebelahi BN pada PRU14 ini.

Jumaeah Masdi muka baharu yang disenaraikan oleh BN bagi merampas kembali Selangor, menyedari lawannya, Dr Ahmad Dusuki Abd Rani (Pas) dan Mohd Najwan Halimi (Pakatan Harapan-PKR) bukan sembarangan.

Akuinya, dua individu itu merupakan calon  berpengalaman namun tidak bermakna beliau sebagai seorang pesaing wanita akan menyerah kalah sebelum berjuang.

Ini kerana katanya yang juga merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Shah Alam, BN bekerja bukannya untuk PRU sahaja tetapi setiap masa walaupun tidak memerintah Selangor selama dua penggal.

“Kalau kita tengok Kota Anggerik dalam aspek fizikal dan politik, kita buat kerja bukan nak dekat pilihan raya tetapi sebelum itu kita sudah buat. Perkhidmatan kita kepada masyarakat sejak lima tahun dahulu.

“Mungkin kita buat kerja secara ‘low profile’ dan mungkin mereka tak nampak tetapi kita sentiasa ada dengan bekerja di peringkat akar umbi bagi memastikan orang yang benar-benar perlu mendapat bantuan,” katanya ketika  sesi temu bual siaran langsung di Facebook Sinar Harian, hari ini.

Mempunyai moto Mensejahterakan Kota Anggerik, beliau berkata, apa dilakukannya untuk masyarakat di kawasan dun berkenaan adalah perjuangan ikhlas.

“Bagi saya, kita melihat pertandingan ini sebagai satu persaingan yang sihat. Kita tidak mahu ia sebagai satu saingan yang sebaliknya. Kalah menang itu memang ada jadi saya mengambil kira kita berusaha. 

“Saya serapkan dalam diri, bila kita melangkah, kita kena niat untuk membantu dan menawarkan perkhidmatan kepada pengundi-pengundi Kota Anggerik. Kita buat perkhidmatan dengan baik dan ikhlas dalam perjuangan,” katanya.

Dun Kota Anggerik mempunyai 41, 488 pengundi dan Yaakob Sapari merupakan penyandang bagi dua penggal namun tidak disenaraikan oleh PKR sebagai calon untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Jumaeah MasdiShah AlamBN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :