KUALA LUMPUR – UMNO memberi bayangan bahawa bekas Ketua Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin, bakal kembali menyertai semula UMNO selepas lebih setahun meninggalkan parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa bekas Menteri Kesihatan berkenaan telah menunjukkan minat untuk kembali ke pangkuan parti.
“Ya... kita terbuka, seperti kenyataan sebelum ini. Kita tunggu surat (rasmi),” katanya ketika ditemui selepas pelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di perkarangan Stadium Bukit Jalil, pada Ahad.
Menurut laporan media sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dijangka menyertai semula UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung hujung bulan depan.
Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio sudah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi UMNO, khususnya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali menyertai semula parti berkenaan
Khairy dilaporkan menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.
Sumber UMNO Selangor yang rapat dengan Khairy mengesahkan perkara itu kepada Sinar Harian, memaklumkan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu menyatakan kesediaan untuk membincangkan kaedah terbaik bagi kembali ke pangkuan parti.