PRN Sabah: Tindakan lompat parti sebagai proses pembersihan dalam GRS - Armizan

PAPAR - Tindakan segelintir ahli yang beralih sokongan kepada parti lain termasuk Parti Warisan disifatkan sebagai proses pembersihan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Armizan Mohd Ali.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, sebelum ini Warisan sering menuduh GRS sebagai ‘parti lompat’ namun perkembangan politik semasa jelas menunjukkan tindakan melompat parti turut berlaku dalam blok lain dan diraikan secara terbuka.

"Ramai pihak termasuklah Warisan membuat naratif bahawa GRS ini adalah parti lompat, sarang kepada orang-orang melompat.

"Tetapi kalau kita lihat perkembangan terbaharu ini, mereka yang melompat termasuk kepimpinan parti tertentu bukan hanya daripada Gagasan Rakyat atau GRS, malah ada juga dari Barisan Nasional (BN) yang diberikan sambutan permadani merah dan diadakan sidang akhbar untuk meraikan kemasukan mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita susulan beberapa ahli parti dilihat beralih sokongan kepada parti lain seperti Warisan.

Katanya, tiada undang-undang yang menghalang mana-mana pihak yang bukan wakil rakyat untuk berpindah parti kerana ia merupakan hak individu tersebut.

Namun beliau menyifatkan kemungkinan tindakan sesetengah pihak melompat parti kerana tidak dicalonkan, sebagai proses pembersihan dalaman parti.

"Sama ada berpunca tidak dicalonkan, saya tidak mahu komen. Tetapi kalau itulah puncanya, ia mungkin menjadi ruang pembersihan dalam parti kerana perjuangan kita bukan berlandaskan kepentingan individu,” katanya.

Armizan menegaskan bahawa pemimpin harus menerima apa juga keputusan parti mengenai calon yang dipilih kerana perjuangan utama adalah untuk rakyat, bukan peribadi.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan pendirian Warisan yang menurutnya kini seolah-olah menormalisasikan tindakan melompat parti.

“Kalau sebelum ini GRS dikatakan sarang orang lompat, kini mereka sendiri menerima pemimpin daripada parti lain.

"Terima kasih kepada Warisan kerana mereka telah menjawab tuduhan yang mereka buat terhadap GRS sebelum ini,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Harun Ismail, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pantai Manis, Amri Abu Bakar, dan Ketua Bahagian Parti Liberal Demokratik (LDP) Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong telah menyertai Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.