Buka ruang Pas jadi parti dominan dalam PN - Penganalisis

SHAH ALAM - Sekiranya kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus berlarutan, tidak mustahil Pas akan muncul sebagai parti paling dominan dalam menentukan hala tuju dan strategi politik Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri mahupun nasional.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kemelut tersebut berpotensi mengubah dinamik kuasa dalam PN.

“Ketika Bersatu berdepan ujian kepimpinan dan isu kesetiaan dalaman, Pas kelihatan berada dalam kedudukan yang lebih stabil dan tersusun.

“Pas mempunyai struktur organisasi yang kukuh, jentera akar umbi yang mantap dan imej kepimpinan yang konsisten,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau yang diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda Bersatu, berkata, dengan peningkatan pengaruh Pas dalam PN, ia akan membawa beberapa kesan strategik.

Ujarnya, struktur kepimpinan dalam gabungan itu mungkin berubah dengan Pas memegang lebih banyak peranan utama dalam majlis tertinggi atau jawatankuasa dasar PN.

“Selain itu pendekatan politik PN mungkin lebih tertumpu kepada agenda berteraskan nilai Islam dan moral selaras dengan kekuatan ideologi Pas.

“Strategi ini boleh memperkukuh sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, tetapi pada masa yang sama mungkin mengehadkan daya tarikan PN kepada kelompok bukan Melayu.

“Seterusnya keseimbangan antara parti-parti komponen boleh berubah daripada hubungan setara kepada hubungan di mana Pas menjadi paksi utama manakala Bersatu berperanan sebagai pelengkap dalam kerangka politik gabungan tersebut,” kata beliau.

Dalam pada itu, mengulas tentang kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengenai kemelut dalaman yang berlaku memberi kesan kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau berkata, perkara itu perlu diurus secara bijak dan berhemah oleh kepimpinan parti agar segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan segera.

Tambah Hussain Yusri, di Sabah situasinya agak berbeza di mana negeri itu mempunyai landskap politik tersendiri yang banyak dipengaruhi oleh faktor tempatan, kepelbagaian etnik dan keutamaan autonomi negeri.

“Bersatu selama ini memainkan peranan penting sebagai penghubung antara PN di peringkat persekutuan dengan realiti politik tempatan di Sabah.

“Tetapi sekiranya kemelut dalaman Bersatu tidak diselesaikan segera, PN berdepan risiko kehilangan penyelarasan strategi menjelang PRN Sabah.

“Pas mungkin mengambil pendekatan berhati-hati bukannya mengambil alih kepimpinan di Sabah, tetapi memperkukuh kedudukan sebagai rakan gabungan yang stabil dan berdisiplin,” katanya.

Namun bagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, sekiranya kemelut dalaman di peringkat Pusat terus berlarutan, ia akan menjejaskan koordinasi dan strategi PN di Sabah, apatah lagi Pas tidak mempunyai akar politik kukuh di negeri itu untuk menampung kekosongan yang wujud.

Ujarnya, ia berisiko untuk PN menjadi tidak tersusun dan bergantung kepada kekuatan calon individu atau parti komponen kecil lain.

“Bersatu sebelum ini cuba memposisikan PN sebagai gabungan nasional yang sederhana, inklusif dan mampu menembusi pengundi bukan Melayu. Namun jika Pas menjadi lebih dominan, PN mungkin akan beralih ke arah agenda politik Islam yang lebih ketara kepada sesuatu yang boleh mengukuhkan asas sokongan Melayu-Islam, tetapi dalam masa sama mengecilkan daya tarikannya terhadap segmen pengundi bandar dan bukan Melayu.

“Dalam jangka panjang, PN akan kehilangan keseimbangan strategik yang selama ini datang daripada gabungan pragmatisme Bersatu dan idealisme Pas. Jika Bersatu gagal memulihkan kekuatan dalaman dan menstabilkan kepimpinannya, Pas bukan sahaja akan menjadi teras ideologi PN, malah akan menentukan corak kepimpinan dan strategi gabungan itu menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berpendapat, bagi PRN Sabah, cabaran sebenar bukan sahaja persaingan antara Bersatu dan Pas, tetapi bagaimana PN dapat meyakinkan pengundi di negeri itu yang mempunyai keperluan serta aspirasi berbeza daripada semenanjung.

Ujarnya, ketidakstabilan Bersatu tidak membantu dalam konteks ini, namun kepimpinan PN perlu bertindak segera untuk menstabilkan Bersatu dan memastikan perpaduan gabungan.

“Jika tidak PRN Sabah dan pilihan raya akan datang mungkin lebih mencabar buat gabungan pembangkang terbesar ini.

“Kegagalan menangani isu dalaman dengan segera bukan sahaja melemahkan kedudukan PN di Sabah, malah boleh memberi kesan domino kepada prestasi politik mereka di peringkat nasional,” katanya.