SHAH ALAM - Kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang perlu menjadikan usaha membawa pulang individu utama dalam skandal kewangan terbesar negara, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia sebagai keutamaan.
Aangkatan Muda Keadilan (AMK) memaklumkan, ahli perniagaan itu merupakan watak penting dalam skandal 1MDB yang telah merugikan negara berbilion-bilion ringgit dengan anggaran kerugian ditanggung kerajaan mencecah AS$18 bilion atau lebih RM82 bilion.
"Ia adalah angka yang sangat besar dan memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.
"Kecurangan tersebut juga telah mengakibatkan rakyat dan negara terpaksa menanggung beban kerugian hingga ke hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dua wartawan penyiasatan, Bradley Hope dan Tom Wright mendedahkan ahli perniagaan tersebut dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Dalam pendedahan menerusi episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright pada Jumaat, Jho Low kini dilaporkan menetap di kawasan eksklusif Green Hills selain memandu kereta mewah.
Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran ahli perniagaan itu di mahkamah adalah penting untuk melengkapkan proses keadilan dan mengembalikan aset negara yang telah dijarah.
Justeru, AMK menggesa kerajaan untuk meningkatkan usaha kerjasama dengan Interpol dan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa lain bagi mengesan dan membawa pulang Jho Low dengan segera.
"Tiada ruang untuk berkompromi dalam isu terbabit," tegasnya.
Dalam pada itu, AMK turut menyeru kepada semua pihak terutamanya rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus fokus kepada agenda reformasi institusi dan pengukuhan tadbir urus baik.
AMK turut bertekad akan terus memantau perkembangan kes Jho Low dan isu-isu berkaitan 1MDB, sekali gus konsisten menyokong segala usaha untuk membasmi amalan rasuah dan penyalahgunakan kuasa bagi menjamin masa depan Malaysia lebih bersih dan bermaruah.