Pas tidak ketandusan pemimpin - Pas Pahang

KUANTAN – Pas memiliki ramai pemimpin berkaliber untuk dicalonkan sebagai pemimpin sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, pendekatan Pas bagaimanapun berbeza dengan parti lain apabila hanya mengumumkan calon pemimpin mereka apabila sampai masanya.

Menurutnya, parti itu tidak ketandusan pemimpin untuk menjawat jawatan penting sama ada di peringkat negeri atau negara, sebaliknya ramai yang layak dan berkebolehan.

“Ramai dalam kalangan pemimpin Pas layak, jadi ia bukanlah isu yang berbangkit,” katanya.

Andansura berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung desakan pihak tertentu supaya Pas menamakan calonnya susulan Kempen Turun Anwar yang dilancarkan pembangkang, dengan kemuncaknya ialah himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Muktamar Pemuda Pas Pahang Kali Ke-43 yang dirasmikan Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Muhammad Hanif Jamaluddin di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zif dan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Hamdi Harun.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, Pas hanya menunggu masa dan memastikan diberikan mandat terlebih dahulu kerana pada ketika itu pasti ada nama yang akan dicalonkan.

“Seperti mana di peringkat negeri sebelum ini, timbul juga persoalan siapa nama yang hendak diangkat sebagai calon Menteri Besar.

“Terbukti apabila menang, ada nama yang dicalonkan dan pemimpin dilantik berjaya mentadbir negeri masing-masing,” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diumum lebih awal kerana banyak sentimen lain yang perlu diambil kira.

“Kami tidak ikut pendekatan pihak lain yang berebut untuk menjadi Perdana Menteri, menteri dan sebagainya.

“Bukan bererti kami tiada calon, tetapi pendekatannya berbeza. Jadi, jangan heret Pas untuk namakan pemimpin itu sekarang kerana kita tidak akan jawab,” tegasnya.

Menjawab persoalan berhubung kemampuan Pas untuk berkhidmat kepada rakyat, beliau berkata, ia boleh dilihat melalui kesungguhan dan cara ADUN serta Ahli Parlimennya menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, walaupun berdepan banyak halangan dan sekatan, wakil rakyat Pas tetap menunaikan tanggungjawab.

“Kami tiada peruntukan tetapi tetap tunaikan amanah kerana telah diajar sejak awal untuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.