Majlis Ulama UMNO sokong pentadbiran Anwar perlu kekal hingga PRU16

SHAH ALAM - Majlis Ulama UMNO bersetuju pandangan Ulama Pondok Kelantan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Khairuddin Takiri berkata, pentadbiran Perdana Menteri terbabit perlu terus dipertahankan supaya rakyat negara ini terus mendapat manfaat daripadanya dan selepas itu terpulang kepada rakyat menilai melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

"Saya bersetuju dengan pandangan Penasihat Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang bahawa perubahan kerajaan yang kerap dalam masa singkat kurang sesuai untuk negara.

"Kita sudah melalui pengalaman tersebut antara tahun 2018 sehingga 2022 dengan tiga kerajaan dalam masa yang singkat," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, ulama terkenal dari Kelantan terbabit berharap agar pentadbiran Anwar dikekalkan bagi menjamin kestabilan pembangunan Islam dan ekonomi negara yang menurutnya kini semakin terkesan akibat perubahan kerajaan terlalu kerap.

Syeikh Wazir turut menzahirkan kebimbangannya terhadap usaha pihak tertentu khususnya pembangkang yang merancang menjatuhkan Perdana Menteri melalui himpunan di ibu negara pada 26 Julai ini.

Khairuddin menambah, himpunan yang dibuat supaya mendesak Perdana Menteri diturunkan tersebut hak demokrasi rakyat tetapi ibarat kata Syeikh Wazir, amalan demontrasi adalah sarapan orang politk.

Dalam pada itu, beliau juga melihat bahawa himpunan dijadualkan berlangsung di ibu negara terbabit adalah lebih kepada gimik politik untuk mengekalkan sokongan pendokong sahaja.

"Sekiranya Tuan Guru Presiden dilaporkan berhasrat kekal dalam jawatan, maka begitulah juga Anwar diharapkan kekal sehingga sekurang-kurang ke akhir penggal untuk meneruskan idealisma perjuangan politik beliau untuk khidmat negara dan untuk maslahat rakyat," ujarnya lagi.