Kerajaan Madani kukuh atas semangat perpaduan luar biasa parti gabungan - PM

PORT DICKSON - Kerajaan Madani kukuh hasil pegangan kepada prinsip dan semangat perpaduan antara parti gabungan serta komitmen bersama untuk membangunkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun setiap parti gabungan dalam Kerajaan Madani mempunyai fahaman dan pendirian berbeza, nilai kebersamaan dan semangat perpaduan dalam kalangan mereka amat mengagumkan.

"Alhamdulillah, walaupun kita ini gabungan parti dengan berlainan pendirian dan fahaman, tetapi semangat untuk membangunkan negara menjadikan kerjasama dan semangat itu luar biasa.

"Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi Barisan Nasional), (Datuk Seri) Fadillah Yusof (Gabungan Parti Sarawak) dan rakan-rakan lain atas semangat ini,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Kenduri Rakyat bersempena dengan program Ukhuwah Madani dan Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan Madani di Kampung Pachitan, di sini pada Ahad. - Bernama