KUANTAN - Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli tidak perlu bimbang dengan kekalahan yang dialaminya dalam pemilihan parti baru-baru ini kerana situasi tersebut jauh berbeza dengan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Ketua Cabang Keadilan Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, kekalahan Rafizi kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti itu hanyalah sebahagian daripada proses demokrasi tiga tahun sekali yang menjadi kelaziman dalam PKR.
Menurutnya, Rafizi tidak wajar membuat perbandingan dengan insiden pemecatan Anwar yang ketika itu menyebabkan ramai ahli UMNO keluar parti kerana yakin beliau dizalimi dan difitnah oleh rejim Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Mana mungkin tokoh yang pernah diniaya, difitnah dan dizalimi seperti Anwar Ibrahim akan sanggup melakukan perbuatan sama terhadap ahli-ahli bawahannya.
“Sehingga hari ini, Alhamdulillah, tiada seorang pun pemimpin dari mana-mana peringkat teraniaya di bawah parti Keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Rafizi yang melahirkan kebimbangan akan berlaku penghijrahan ahli PKR keluar parti selepas kekalahannya dalam pemilihan tersebut.
Wan Fauzuldin menjelaskan, apa yang berlaku pada tahun ini tidak sama dengan krisis politik 1998 kerana ketika itu Anwar bukan sahaja dipecat daripada UMNO, malah digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Tahun ini hanya menyaksikan seorang Menteri Ekonomi yang menyandang jawatan Timbalan Presiden parti telah tewas dengan majoriti 6,000 undi.
“Beliau meletak jawatan, bukan dipecat dari Kabinet atau dipecat sebagai ahli parti. Jauh bezanya dengan 1998,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati Rafizi supaya tidak terus dibayangi kekalahannya seperti kanak-kanak yang takut menonton filem seram.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang kekalahan kamu kerana sebelum kamu ramai lagi tokoh yang pernah tewas, tetapi peristiwa seperti tahun 1998 tidak pernah berlaku.
“Sehebat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin pun gagal menggoncang parti keramat ini,” katanya.
Wan Fauzuldin menambah, ahli-ahli parti telah ‘move on’ daripada kempen pemilihan sebelum ini dan berharap Rafizi juga dapat menerima hakikat kekalahan dengan hati terbuka.
“Semoga ALLAH berikan taufik dan hidayah kepada Saudara Rafizi dan kita semua, serta dihindarkan daripada ketakutan dan igauan yang dibisikkan syaitan,” katanya.