Kerjasama Kerajaan Perpaduan perkuat UMNO

BERUAS – Kerjasama erat antara UMNO dan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan diyakini mampu memperkukuh semula kedudukan parti keramat itu di mata rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad berkata, mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas menunjukkan tiada satu parti mampu memerintah secara dominan.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan wujud keperluan pembahagian kuasa antara parti melalui pendekatan konsensus.

“Zaman satu parti dominasi sudah lama berlalu. Dalam keadaan politik yang kompleks dan dinamik hari ini kita perlu terima perubahan dan realiti bahawa kerajaan campuran adalah norma baharu di banyak negara termasuk Thailand, United Kingdom dan Perancis.

“UMNO perlu beradaptasi dan dalam masa sama terus memperkukuh akar umbi serta kembali fokus kepada prinsip perjuangan Melayu dan Islam berteraskan kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Azhar berkata, dakwaan kononnya kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menjejaskan kepentingan Melayu adalah tidak berasas memandangkan pimpinan utama negara masih dikuasai oleh tokoh Melayu.

“Perdana Menteri Melayu, Timbalan Perdana Menteri kedua-duanya Melayu, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara juga Melayu. Jadi tidak timbul soal pengorbanan agenda Melayu seperti yang dimainkan pihak tertentu.

“Jangan terpengaruh dengan persepsi dan fitnah media sosial, sebaliknya rujuk data rasmi daripada Jabatan Perangkaan dan agensi berkaitan. Kadar pengangguran telah diturunkan kepada sekitar 3 peratus, pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pula kekal positif sekitar 5 peratus walaupun dunia berdepan krisis ekonomi global,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar turut menyeru ahli UMNO di semua peringkat agar memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan penuh amanah dan semangat muafakat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“UMNO kuat, rakyat akan kuat. Kita mesti terus bergerak ke hadapan dan pastikan bantuan-bantuan seperti Sejati Madani dan bantuan tunai bersasar sampai kepada rakyat yang memerlukan.

“Insya-ALLAH, UMNO akan terus bangkit bersama Presiden kita, Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya lagi.