SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan bukti surat Perikatan Nasional (PN) menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Barisan Nasional (BN) sewaktu rundingan membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).
Menurutnya, pendedahan surat tawaran itu sekali gus menafikan dakwaan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya PN tidak menawarkan apa-apa jawatan dan memandang rendah BN.
Jelasnya, dalam surat itu menyatakan PN bukan sahaja menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bahkan bersedia memberikan jawatan Kabinet serta beberapa jawatan kerajaan lain mengikut keperluan.
“Saya menonton satu video podcast Rafizi yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak mengemukakan apa-apa tawaran kepada BN dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Malah beliau mendakwa Tan Sri Muhyiddin memandang rendah kepada UMNO. Beliau kata ada kaki dalam rundingan PN - BN di Hotel St Regis pada 23 November 2022.
“Saya tak tahulah betul atau tidak dia ada ‘kaki’. Saudara Rafizi, anda berkata bohong,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah Marzuki, bukan hanya setakat kaki malah seluruh tubuhnya berada di dalam rundingan tersebut dari awal hingga akhir.
Ujarnya, rundingan berkenaan berlaku dalam suasana yang muhibbah.
“Tidak pernah sekali pun Muhyiddin memperkecilkan UMNO. Lagipun yang datang semuanya kawan-kawan beliau dalam UMNO dan BN. Bercakap pun seperti kawan-kawanlah.
“Kedua, dalam rundingan mestilah ada tawaran. Rombongan BN datang dengan tawaran Ahli-ahli Parlimen BN memberikan sokongan secara ‘en-bloc’ kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Sebagai balasan, PN menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, jawatan Kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi dan beberapa perkara lain,” katanya.
Tambah beliau, Timbalan Perdana Menteri dari BN tidak ditentukan, ia mestilah dirunding antara Perdana Menteri dan pimpinan BN.
Ujarnya, pada akhir rundingan, delegasi BN yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta supaya tawaran-tawaran tersebut dibuat secara bertulis untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada sebelah malamnya.
“Selepas rundingan tamat, saya duduk bersama-sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada masa itu dan beberapa orang lain untuk menyediakan sepucuk surat yang mengandungi tawaran PN kepada BN.
“Surat tersebut yang dialamatkan kepada Timbalan Pengerusi BN diserah tangan pada hari yang sama. Pada ketika itu saya fikir tidak ada sebab untuk UMNO menolak tawaran dengan terma munasabah yang telah dibincangkan serta dipersetujui secara dasarnya dalam rundingan. Cuma ia perlu dibawa ke MKT UMNO untuk pengesahan,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun beliau tidak pasti surat berkenaan dibincangkan atau tidak dalam mesyuarat MKT UMNO pada malam 23 November 2022.
Apabila pulang ke rumah pada lewat malam tersebut, ujarnya, beliau terkejut membaca kenyataan media Setiausaha Agung UMNO yang menyatakan MKT telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan PH.
“Saya terdiam. Namun apa boleh buat. Hari pun sudah lewat malam, keputusan telah dibuat, badan sudah letih, saya pun tidur sajalah sambil mengharapkan hari esok lebih baik daripada semalam.
“Saya bukanlah orang penting tetapi telah ditakdirkan saya terlibat dalam banyak rundingan politik. Saya tidak gemar mendedahkan butiran rundingan tetapi sekiranya ia telah menjadi sumber pembohongan dan bahan fitnah adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran.
“Saudara Rafizi, orang boleh dibohongi tetapi mereka tidak berurusan dengan pembohongan. Jadi, apabila anda bercakap bohong, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bercakap benar,” katanya.