BERUAS – Rakyat Perak dinasihatkan agar tidak terlibat dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara kerana tindakan tersebut disifatkan sebagai membuang masa dan berpotensi menjejaskan kestabilan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perhimpunan seperti itu bukan sahaja tidak membawa sebarang hasil, malah dikhuatiri mencetuskan kekacauan serta menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.
Menurutnya, budaya berhimpun untuk menjatuhkan kerajaan bukanlah amalan demokrasi yang baik sebaliknya mengundang implikasi buruk kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.
**media[3207897]**
“Dulu semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau sendiri pernah menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh ditumbangkan melalui demonstrasi. Kita mengamalkan demokrasi berparlimen, maksudnya rakyat boleh pilih kerajaan melalui pilihan raya umum.
“Kalau kita mula budaya berhimpun untuk menggulingkan kerajaan, sampai bila-bila pun tiada kestabilan. Setiap kali naik kerajaan baharu, orang akan berarak. Itu bukan proses demokrasi yang sihat. Jadi, saya nasihatkan rakyat Perak, tak perlulah hadir pada 26 hari bulan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di Dewan Inderawati di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.
Dalam pada itu, Saarani turut mempersoalkan motif sebenar penganjur himpunan tersebut yang menurutnya tidak menumpukan kepada isu rakyat seperti kenaikan gaji, bantuan kepada golongan miskin atau pengukuhan nilai mata wang negara.
“Ceritalah perkara yang baik. Kita bukan dapat semua yang kita hendak, tapi jangan ajak rakyat turun berhimpun. Bila pelabur lari, ekonomi terjejas yang susah rakyat. Orang kampung terpaksa menanggung akibatnya.
“Tak perlu hadir 26 hari bulan. Cukuplah kita berdoa setiap kali solat Jumaat, mohon kepada ALLAH agar negara dikurniakan pemimpin yang baik. Itu lebih baik daripada turun menjerit buat huru-hara,” katanya lagi.
Tambah Saarani, jika benar matlamat himpunan tersebut adalah untuk mendesak perubahan kepimpinan, rakyat perlu sedar bahawa tiada gabungan lain yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
“Perikatan Nasional (PN) cuma ada 73 kerusi. Katakan Anwar turun, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau Datuk Seri Hamzah Zainuddin pun tak boleh bentuk kerajaan kerana tiada majoriti. Cerita yang benar pada rakyat, jangan beri harapan palsu,” katanya yang juga Pengerusi UMNO Perak.
Beliau turut menyelar pihak tertentu yang menyeru kepada penyatuan Melayu sedangkan mereka sebelum ini turut memainkan peranan dalam memecahbelahkan perpaduan Melayu dan bekerjasama dengan parti yang menentang UMNO.