'Muda terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak' - Amira Aisya

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan dasar dan polisi yang sama demi kepentingan rakyat.

Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, beliau telah menghadiri satu pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ketua-ketua parti daripada blok pembangkang pada Jumaat.

“Kalau kita nak cerita tentang perbezaan, semua parti yang hadir mempunyai perbezaan yang cukup besar. Tetapi saya fikir ada beberapa isu pokok yang kita semua risaukan.

“Ia termasuk isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat, salah guna kuasa yang semakin berleluasa dan janji reformasi yang masih tidak ditunaikan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menegaskan, partinya percaya pembangkang perlu memainkan peranan sebagai suara yang tegas, kuat dan berprinsip agar kerajaan tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada rakyat.

“Muda terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan dasar dan polisi yang sama. Atas dasar itu juga, kami punyai persefahaman politik bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kerjasama berhubung URA bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),” jelasnya.

Pada Jumaat, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama 11 ketua parti pembangkang untuk membincangkan cadangan penubuhan satu barisan rentas parti.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata perbincangan tersebut bertujuan mendapatkan pandangan serta persetujuan awal berkaitan penubuhan barisan politik merentasi pelbagai parti pembangkang, bagi memperkukuh suara semak dan imbang dalam dan luar Parlimen.

Antara tokoh politik yang hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut serta, Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan Amira Aisya mewakili Muda.

Turut hadir ialah Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden URIMAI, Dr P Ramasamy; dan Presiden MAP, P Waytha Moorthy.