Perpecahan dalaman lebih membimbangkan berbanding Himpunan Turun Anwar - Mat Sabu

KOTA KINABALU - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi peringatan tegas bahawa perpecahan dalaman parti jauh lebih membimbangkan berbanding penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

Menurut beliau, tumpuan utama ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh kesepaduan dalam kalangan parti pemerintah, bukannya terlalu gusar terhadap perhimpunan anjuran pembangkang yang dianggap tidak signifikan berdasarkan pengalaman politik lalu.

“Sebab itu himpunan parti lawan pada 26 haribulan ini, jangan bimbang apa-apa. Kita lebih bimbang kalau berlaku perpecahan dalaman, ini saya ingatkan secara umum,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Sabah Amanah di Sembulan, di sini, Sabtu.

Mengimbas kembali senario politik negara pada tahun 2018, Mohamad berkata ketika itu pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan melalui sokongan tokoh besar termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bergabung tenaga bersama Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum ini kita tidak berupaya menjatuhkan kerajaan. Pada 2018, gergasi di sebelah sana datang – iaitu Tun M, Muhyiddin Yassin.

“Tun M dan Muhyiddin Yassin bersama dengan kita, dan sudah tentulah apabila bekas Perdana Menteri serta bekas Timbalan Perdana Menteri bersama kita, maka pada 2018 kita berjaya mengambil alih melalui pilihan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad mengingatkan bahawa kejatuhan kerajaan selepas itu bukan berpunca daripada kekalahan dalam pilihan raya, tetapi disebabkan perpecahan dalaman yang berlaku dalam PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Selepas itu kita lihat kerajaan bertukar bukan melalui pilihan raya... Perpecahan dalaman berlaku – dalam PH, kita tahu Azmin Ali dan rakan-rakannya membentuk satu kumpulan, dan dalam Bersatu pula, Muhyiddin dan kumpulannya membentuk satu lagi kumpulan. Kedua-dua kumpulan ini bersatu menyebabkan kita hilang majoriti, dan berlakulah kerajaan 22 bulan,” katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan agar pimpinan dan penyokong kerajaan perpaduan tidak mudah terpengaruh dengan tekanan politik pihak lawan, termasuk himpunan yang menuntut Perdana Menteri berundur.

“Sebab itu kita jangan risau dengan apa-apa himpunan pada 26 haribulan ini. Jeritlah ‘Turun Anwar, turun-turun’… kita pun dulu kata ‘Turun Najib’, tapi tak turun juga. Dulu jerit ‘Undur Mahathir’, akhirnya beliau undur sendiri, bukan dikalahkan dalam pilihan raya. Waktu itu tak jatuh pun.

“Kerajaan jatuh bila berlaku perpecahan dalam PH. Ini ingatan kita. Bila berlaku perpecahan, pembangkang akan ambil peluang untuk memerintah. Undang-undang kita yang buat, ayat boleh berubah,” katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau menyentuh secara sinis perubahan pendirian politik dalam kalangan parti tertentu.

“UMNO sejak tahun 60-an, 70-an, 80-an, dikafirkan dengan sekafir-kafirnya. Tapi bila berlaku perubahan politik, dikatakan pula ‘ini anugerah ALLAH – bertemunya Pas dan UMNO, ini anugerah Allah di abad ini’,” katanya secara sinis.