SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) mahupun mana-mana gabungan baharu.
Timbalan Pengerusinya, S Arutchelvan berkata, PSM hanya mempunyai ikatan persefahaman dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Jelas Arutchelvan, sebelum ini PSM juga pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat (GDR) dan Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimanapun, menurutnya, keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh dibuat oleh Kongres PSM selaras dengan tradisi demokratik sentralisme yang diamalkan parti itu.
“PSM dijemput oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk satu perjumpaan blok parti pembangkang.
“Kami telah menghadiri perjumpaan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk hadir jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik.
“Muhyiddin melontarkan cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti politik pembangkang. PSM menyambut baik dan memberikan pandangan, namun tidak ada sebarang keputusan untuk PSM menyertai PN atau gabungan baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat lalu, Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Antara yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.
Turut hadir, Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.