Sokong atau bantah, bergantung kepada kepentingan isu - Azis Jamman

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) mengambil pendirian untuk menyokong atau membantah isu yang dibangkitkan menerusi Barisan Pembangkang Bersatu yang dicadangkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bergantung kepada kepentingan isu berkenaan.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, walaupun Warisan merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, parti itu masih bebas menyuarakan pandangan mengenai perkara yang dirasakan perlu.

"Di peringkat Persekutuan, Warisan sebagai sebuah parti walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan, namun masih boleh menyuarakan perkara-perkara yang parti itu rasakan perlu untuk dibangkitkan dan disuarakan.

"Terutama bila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Contoh jelas seperti isu Ambalat, walaupun berada dalam kerajaan Perpaduan, Warisan tetap menyuarakan kegusaran dan tidak setuju kami dengan cara serta kaedah yang diumumkan Perdana Menteri yang dilihat membelakangi Perlembagaan dan kepentingan Sabah.

"Dalam isu Ambalat, kerajaan tidak boleh membuat keputusan secara unilateral tanpa merujuk kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bersatu untuk menubuhkan Barisan Pembangkang Bersatu bagi membincangkan dan mengambil pendirian bersama berkaitan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Tambah beliau, Warisan bersedia menyokong sebarang isu yang dibangkitkan Barisan Pembangkang Bersatu jika ia membawa manfaat, namun akan membantah sekiranya bercanggah dengan kepentingan rakyat, negeri atau negara.

"Kami boleh menyokong isu yang dibangkitkan, namun kami juga boleh membantah atas dasar kepentingan rakyat, negeri dan negara. Warisan akan membuat keputusan, menyokong atau membantah berdasarkan isu tersebut," katanya.

Sementara itu, mengulas kesediaan Bersatu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohd Azis menegaskan bahawa Warisan kekal dengan pendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama PRN, terutamanya dengan parti nasional.

"Ini mengambil kira sentimen rakyat Sabah hari ini yang ingin melihat parti tempatan Sabah berdiri dan bergerak sendiri tanpa dipengaruhi oleh parti-parti nasional memandangkan ini merupakan pilihan raya negeri.

"Bagaimanapun, adalah ditegaskan sebenarnya Warisan tidak bergerak solo, tetapi Warisan bergabung dan bekerjasama dengan rakyat," katanya.