Jangan cemar imej negara: Hishammuddin

KLUANG - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua parti yang berkempen pada PRU14  supaya tidak melakukan perbuatan melampaui batas hingga boleh mencemarkan imej dan nama negara.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua parti perlu mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya supaya proses kempen berjalan lancar.

Jelasnya, pembangkang juga diingatkan jangan semata-mata mahu menjadi popular, mereka menuding jari kepada pihak lain atau menabur fitnah dalam usaha meraih sokongan.

“Jangan kita marah nyamuk kelambu kita bakar, jangan kita ghairah sangat berpolitik hingga apa yang kita bina jadi gadaian. Jangan kita nak popular sangat, kita buat janji-janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Jangan marah berkempen kita sanggup buat sesuatu yang akan mencemarkan imej negara,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman pencalonan beliau untuk kerusi Parlimen Sembrong di Bangunan Komuniti Umno Sembrong, semalam.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong akan mempertahankan kerusi Parlimen itu bagi penggal keempat selepas menang tiga kali berturut-turut sejak bertanding pada 2004.

Beliau akan menentang calon PKR, Onn Abu Bakar dalam pertembungan yang menyaksikan satu lawan satu.

Selain beliau, calon MCA, Teoh Yap Kun akan bertanding kerusi Dun Paloh manakala calon MIC, R Vidyananthan akan bertanding di kerusi Dun Kahang.

Hishammuddin juga berharap pemimpin Umno yang tidak dicalonkan agar tidak sabotaj parti atau melakukan tindakan-tindakan yang tidak rasional sepanjang tempoh berkempen.

Tegasnya, segala perbuatan dan tindak-tanduk mereka akan dipantau pucuk pimpinan parti.

“Saya nak ingatkan perjuangan kita lebih besar daripada individu. Kita  bersandarkan kepada kepentingan dan perjuangan parti.

“Mereka ini (pemimpin yang tidak dicalonkan) setiap seorang akan diuji, dipantau dan dilihat oleh pucuk pimpinan. Tindak-tanduk mereka dalam beberapa hari ini akan menentukan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ketika ini, beliau fahaman perasaan dan emosi mereka dalam masa beberapa hari ini akan terganggu kerana tidak dapat bertanding.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, mereka harus balik kepada perjuangan asal dan mendahulukan kepentingan parti.

Hishammuddin Hussein