Jangan salah guna SOP untuk kempen: Wan Junaidi

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu pilih kasih membabitkan Jemaah Menteri bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat kabinet akan datang supaya menteri terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita tidak mengamalkan 'double standard', saya berharap semua pihak beri kerjasama dan saya bercakap bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta SPR.

"Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet dan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan MKN dan KKM yang akan dilaksanakan SPR.

"SPR mahu proses demokrasi berjalan iaitu membenarkan kesemuanya berpandukan ketetapan MKN dan KKM. Kalau undang-undang dilaksanakan satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang meminta jaminan kerajaan supaya tiada majlis rasmi kerajaan dianjurkan oleh menteri kabinet untuk kempen PRN Melaka.

Ia susulan SOP bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat membenarkan penganjuran majlis rasmi, sedangkan SOP PRN Melaka tidak membenarkan sebarang himpunan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pihaknya berharap larangan berhimpun sepanjang PRN Melaka untuk tujuan kempen dapat dipatuhi.

“Saya tidak boleh beri jaminan aktiviti oleh aktivis politik. Ketika PRN Sabah, kita buat SOP tetapi parti berkempen dan tidak ada kawalan,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, SPR bekerjasama dengan MKN dan KKM dan sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRN Melaka yang akan diumumkan sebelum penamaan calon.

“SOP ini akan disesuaikan selaras dengan fasa PPN di samping mengambil kira pandangan MKN dan KKM,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal daripada Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil pada PRN Melaka bagi mengelakkan peningkatan kes positif Covid-19.