[ANALISIS] Desas-desus Sabah bakal dilanda 'tsunami'

BAHARU lapan bulan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mentabdir, ada pula khabar angin meniup kencang di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Dakwaan kerajaan Sabah yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kembali bergolak setelah desas-desus mendakwa parti Warisan bakal bergabung bersama Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sekiranya khabar angin itu benar berlaku, sudah tentu mengugat kestabilan GRS yang belum cukup setahun memerintah selepas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020.

Jika tiada angin masakan pokok bergoyang?

Sudah menjadi tabiat ahli politik suka melompat parti dan tidak hairanlah mereka digelar 'katak politik'.

Mereka bukan sahaja memikirkan kepentingan diri sendiri, tetapi juga telah membelakangi amanah rakyat yang diberikan kepada mereka.

Ini seperti yang berlaku tahun lalu apabila bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Gabungan baharu berkenaan membabitkan beberapa parti, iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan PBS.

Sedangkan ketika itu, pentabdiran kerajaan negeri masih di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan.

Mungkinkah ketika ini, Mohd Shafie mahu melakukan perkara yang sama kononnya memiliki jumlah majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan baharu dengan mengajak PBS bekerjasama dengan parti yang diasaskan pada 17 Oktober 2016.

Ini sebab sebelum ini, tular satu kenyataan di media sosial bahawa Warisan yang mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersatu dengan parti tempatan iaitu PBS dengan tujuh kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua kerusi, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) satu kerusi, serta ADUN Bebas tiga kerusi.

Jumlah kerusi ini jika dicampur menjadikan keseluruhan adalah sebanyak 41 kerusi yang membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan sekali gus menumbangkan kerajaan GRS yang dipimpin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu.

Kata Mohd Shafie, kerjasama antara parti politik adalah penting kerana tidak ada mana-mana parti yang boleh menubuhkan kerajaan sendirian, tetapi kerjasama itu perlulah berdasarkan kepada kepentingan negara dan bukan kedudukan yang akan diterima pemimpin parti.

Beliau juga menjelaskan, PBS adalah sebuah parti tempatan yang mempunyai sejarahnya di Sabah, dan secara peribadi mengenali pemimpin parti itu terutamanya Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Warisan juga dikatakan belum membuat sebarang pendirian selepas memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Gabungan Pakatan Harapan Plus di Sabah sebaliknya dilihat terbuka bekerjasama dengan PBS.

PBS nafi gabung dengan Warisan

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai menafikan dakwaan itu malah kenyataan tersebut sengaja diputar belit oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Beliau juga menjelaskan tiada isu salah faham menerusi kenyataan yang dikeluarkan PBS melalui presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini.

"Tiada yang silap, tidak ada Maximus kata mahu tubuh kerajaan dengan Warisan. Dia kata, kita kerja, terus sokong Perikatan Nasional (PN), kita sokong Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin)," tegasnya sambil menolak sebarang spekulasi kerjasama antara Warisan.

Kerjasama Warisan dan PBS hanya mainan media sosial

Kenyataan itu juga disangkal oleh Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong, menganggap khabar angin penubuhan kerajaan baru parti itu bersama PBS hanya permainan media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menyokong kenyataan presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal demi perpaduan rakyat Sabah.

"Saya anggap ini permainan media sosial. Tidak perlu komen pun tetapi bagi saya dalam pimpinan Warisan khususnya kita di pimpinan tertinggi menyokong kenyataan presiden itu.

"Kita harus melihat kepentingan rakyat, sampai bila kita bercakaran, matlamat kita ialah untuk membangunkan Sabah supaya rakyat dapat hidup lebih baik," katanya.

Jika diperhalusi kata-kata Jaujan ini memang ada benarnya namun tidak terfikirkah Warisan untuk bekerjasama dengan GRS jika niat mereka hanya membangunkan Sabah dan menjaga kebajikan rakyatnya.

PBS ajak Warisan kerjasama bukan tubuh kerajaan baharu tetapi bangunkan Sabah

Seperti mana ajakan Dr Maximus untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana berpendapat hanya menerusi cara itu kedua-dua parti boleh bekerjasama.

"Sebagai tulang belakang kerajaan negeri, tiada sebab untuk PBS mengambil tindakan yang boleh merosakkan perpaduan dan kekuatan dalam GRS. PBS juga terus komited memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku ketua kerajaan negeri dan Pengerusi GRS.

"Niat sebenar saya.. untuk menyatakan keterbukaan parti kepada pembangkang, khususnya Warisan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mencapai misi pembangunan yang sama demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah. Saya tidak bercakap selain daripada keterbukaan untuk bekerjasama. Lagipun, Warisan yang terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk berkawan dan bekerjasama," katanya dalam kenyataan pada 20 Mei lalu.

Niat bekerjasama itu sudah bagus kerana setiap parti mahu mengutamakan kebajikan rakyat terutama dalam pandemik Covid-19.

Bagaimanapun jika sesetengah parti ada niat untuk 'merampas' dan menubuhkan kerajaan baharu ibarat serampang dua mata, sekarang bukan masa yang sesuai.

Namun apa yang boleh dikatakan, tiada kesudahannya apabila fokus kepada pertukaran kerajaan dan asyik merebut kuasa kerana pengakhirannya rakyat yang sengsara.

Memang tugas parti pembangkang untuk lakukan 'check and balance' tetapi biarlah berpada kerana bimbang pisang berbuah dua kali seperti berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Peningkatan Covid-19 yang melanda negara terus meningkat sehingga kini yang dipercayai berpunca daripada PRN Sabah gara-gara orang politik 'gila' kuasa.

Mohd Shafie Apdal

Berita Popular

Video Popular