UMNO dijangka dominasi kerusi pada PRU15

SHAH ALAM - UMNO diramal akan mendominasi jumlah agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bermesyuarat mengenai pembahagian kerusi minggu depan.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, jangkaan itu berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan UMNO sebelum ini yang mahu mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Beliau berkata, keputusan PRU14 lalu menyaksikan BN memenangi 79 kerusi dan 54 daripadanya dimenangi UMNO, tetapi daripada jumlah itu, kerusi mereka sekarang tinggal 39 sahaja.

“Jadi atas dasar itu, dalam perbincangan tersebut tentulah UMNO mahu menyusun semula dan sememangnya ahli akar umbi parti itu juga berkehendakkan perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan BN dan PN akan mengadakan pertemuan pada minggu depan bagi membincangkan beberapa perkara khususnya pembahagian kerusi pada PRU akan datang.

Dr Ahmad Atory berkata, sekiranya UMNO tidak mendominasi kerusi, tidak mustahil BN akan menarik diri daripada terus menjalin kerjasama dengan PN.

“Sekiranya UMNO hanya mendapat kerusi lebih sedikit, akar umbi pastinya tidak akan memberi sokongan kepada parti itu lagi dan perkara itu sememangnya diketahui umum.

“Bersatu pula dikatakan masih lemah jadi macam mana nak diberi kerusi yang banyak kalau jentera pun mereka tak ada kecuali UMNO dan BN secara sukarela mahu tolong Bersatu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, UMNO dijangka memperoleh jumlah kerusi yang lebih tinggi kerana pengaruh yang dimiliki.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang Bersatu dilihat amat lemah dari segi akar umbinya, namun pada masa sama mereka memiliki pemimpin yang popular seperti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Namun saya berpandangan agihan kerusi pada PRU15 mungkin agak rumit untuk mencapai kata sepakat kerana BN dan PN masih belum wujud persefahaman antara mereka.

“BN dan PN masih lagi bertembung dan bergaduh sesama sendiri walaupun pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu sudah selesai,” katanya.

UMNO PRU15
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :