PBS alu, sokong pengisytiharan darurat di Batu Sapi

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) mengalu-alukan dan menyokong pengisytiharan proklamasi darurat di Batu Sapi, Sandakan dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, angka kes koronavirus (Covid-19) yang dicatat menunjukkan situasi sebenar di Sabah ketika ini.

"Ini langkah yang terbaik untuk Sabah terutamanya di Batu Sapi bagi mengekang penularan virus yang membawa maut ini.

"Cukuplah berpolitik sekarang. Keutamaan kita adalah untuk menangani situasi Covid-19, kehidupan rakyat dan ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Al-Sultan Abdullah berhubung pengisytiharan darurat bagi membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi pada 5 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Proklamasi darurat adalah apa-apa prosiding untuk PRK bagi Parlimen Batu Sapi tidak diteruskan bagi mengekang gelombang ke empat Covid-19.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung proklamasi darurat itu.

"Kami bersetuju dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menangguhkan PRK sehingga ke tarikh baharu yang ditetapkan," katanya.

Johnity @ Maximus OngkiliPRK Batu Sapi