Sarawak jangan ulangi kesilapan Sabah

KOTA KINABALU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menggesa kerajaan Sarawak supaya tidak mengulangi kesilapan yang Sabah lakukan dengan mengadakan pilihan raya ketika negara sedang menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Anifah berkata, beliau memahami Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak harus diadakan 60 hari sebelum Jun tahun depan mengikut Perlembagaan negeri.

"Masih tinggal tujuh bulan dari sekarang, namun keadaan Covid-19 masih membimbangkan.

"Justeru, nasihat saya adalah mudah, abang Jo, jangan ulangi kesilapan yang sama yang dibuat oleh abang Shafie (bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)," katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebooknya malam tadi.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar berkata, nasihat itu diberikan kepada rakan di Sarawak untuk mengetepikan sekejap berkaitan hal politik.

"Dari sahabat ke sahabat, kita ketepikan politik dan fokus kepada kebajikan dan kesihatan anak-anak Borneo kita.

"Jika tidak diperlukan, tangguhkan PRN sehingga selama yang boleh atau pun sampailah keadaan Covid-19 adalah terkawal dengan jayanya," katanya.

Bagaimanapun, Anifah berkata ia hanya sebagai nasihat kepada rakannya tanpa niat untuk campur tangan politik di Sarawak.

"Kempen di kawasan pedalaman sukar dikawal dan penularan Covid-19 di Sabah mendatangkan kesan politik yang buruk terhadap 'brother' Shafie yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jadi abang Jo, biar saya ulang kembali sebagai seorang rakan, jangan ulang kesilapan sama seperti Sabah. Sekali lagi, ini adalah nasihat tanpa niat untuk campur tangan," katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Sarawak akan tetap meneruskan PRN ke-12 walaupun menyedari negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak perlu diadakan bila tamat tempoh: Abang Johari