Berakhirnya gelora politik Sabah

HAJIJI DI PUNCAK KUASA

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor selamat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu pada 29 September lalu.

Pelantikan beliau itu akhirnya mendapat persetujuan semua parti yang bergabung bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Terdahulu, pelantikan Ketua Menteri Sabah terganggu selama dua hari selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September lalu susulan pertikaian siapa yang layak menduduki kerusi tertinggi dalam pentadbiran di Negeri Di Bawah Bayu itu.

PROFIL HAJIJI 

Nama: Hajiji Mohd Noor

Umur: 65 tahun

Tarikh lahir: 10 Mei 1955

Tempat Lahir: Kampung Serusop Tuaran

Isteri: Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag

Anak: 4 orang

Pendidikan:

1961 - Sekolah Kebangsaan Serusop

1967 - Sekolah Menengah (SM) Tuaran

1972 - SM St. John

1986 - Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekonomi Masyarakat University of New Hampshire, Amerika Syarikat

Kerjaya:

1976 - Juruhebah Radio Televisyen Malaysia (RTM)

1977 - Penolong Pegawai Pembangunan Pejabat Daerah Tuaran

1986 - Penguasa Kastam Sabah

Politik:

1990 - ADUN Sulaman

1993 - Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba

1995 - Ketua UMNO Tuaran

2001 - Bendahari UMNO Sabah

2004 - Bendahari BN Sabah

2004 - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah

2019 - Ketua Bersatu Sabah

Pingat:

1997 - Bintang kebesaran negara K.M.N oleh Yang di-Pertuan Agong

2013 - Bintang kebesaran tertinggi Negeri Sabah, Seri Penglima Darjah Kinabalu yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima

KABINET SABAH

SPEAKER

Datuk Kadzim M Yahya

BN-UMNO

KETUA MENTERI/MENTERI KEWANGAN

Datuk Seri Hajiji Mohd NoorADUN Sulaman

PN-Bersatu

PEMBANTU KETUA MENTERI

  1. Datuk Abidin Madingkir

ADUN Paginatan

PN-Star

  1. Datuk Wetrom Bahanda

Adun Bandau

PN-Bersatu

PEMBANTU MENTERI KEWANGAN

  1. Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

ADUN Apas

PN-Bersatu

  1. Jasni Daya

ADUN Pantai Dalit

BN-UMNO

TIMBALAN KETUA MENTERI I/ MENTERI KERJA RAYA

Datuk Seri Bung Moktar Radin

ADUN Lamag

BN-UMNO

PEMBANTU

  1. Datuk Limus Jury

ADUN Kuala Penyu

PN-Bersatu

  1. Robert Tawik @ Nordin

ADUN Bingkor

PN- Star

TIMBALAN KETUA MENTERI II/ MENTERI PERIKANAN DAN PERTANIAN  

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

ADUN Tambunan

PN-STAR

PEMBANTU

  1. Datuk James Ratib

ADUN Sugut

BN-UMNO

  1. Hendrus Anding

ADUN Tandek

PBS

TIMBALAN KETUA MENTERI III/MENTERI PEMBANGUNAN PERINDUSTRIAN

Datuk Dr Joechim Gunsalam

ADUN Kundasang

PBS

PEMBANTU

  1. Mohd Tamin @ Tamin Zainal

ADUN Pantai Manis

BN-UMNO

MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN / MENTERI KEWANGAN 2

Datuk Seri Masidi Manjun

ADUN Karanaan

PN-Bersatu

PEMBANTU

  1. Datuk Isnin Aliasnih

ADUN Klias

PN-Bersatu

  1. Mohamad Hamsan Awang Supian

ADUN Sungai Sibuga

BN-UMNO

MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Datuk Jahid Jahim

ADUN Tamparuli

PBS

PEMBANTU

  1. Samad Jambri @ Jamri

ADUN Labuk

PN-Bersatu

  1. Harun Durabi

ADUN Bengkoka

BN-UMNO

MENTERI TUGAS-TUGAS KHAS

Datuk Aripin Mohd Arif

ADUN Membakut

PN-Bersatu

MENTERI PELANCONGAN, KEBUDAYAAN DAN ALAM SEKITAR

Datuk Jafry Ariffin

ADUN Sukau

BN-UMNO

PEMBANTU

Datuk Joniston Bangkuai

ADUN Kiulu

PBS

MENTERI PEMBANGUNAN MASYARAKAT DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Ir Shahelmy Yahya

ADUN Tanjung Keramat

BN-UMNO  

PEMBANTU

  1. Datuk Julita Mojungki

ADUN Matunggong

PBS

  1. Flovia Ng

ADUN Tulid

PN-Star

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Datuk Yakubah Khan

ADUN Karambunai

BN-UMNO

PEMBANTU

Datuk Ruddy Awah

ADUN Pitas

Bebas

MENTERI BELIA DAN SUKAN

Datuk Ellron Angin

ADUN Sook

BN-PBRS

PEMBANTU 

Andi Muhammad Suryady Bandy

ADUN Tanjung Batu

BN-UMNO

ADUN DILANTIK

  1. Suhaimi Nasir

BN-UMNO

  1. Datuk Raimie Unggi

BN-UMNO

  1. Jaffari Waliam

PN-Bersatu

  1. Datuk Seri Yong Teck Lee

PN-SAPP

  1. Dr Aliakbar Gulasan

PN- PAS

  1. Datuk Amisah Yassin

PN - Bersatu

 

KETOKOHAN

Ketokohan Hajiji sebagai pemimpin tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau banyak memegang jawatan tinggi sama ada dalam parti mahupun pentadbiran kerajaan.

Ketua bersatu Sabah itu juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba.

Di samping itu, beliau juga pernah memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika Sabah diterajui oleh Tan Sri Musa Aman pada 2004.

PERTIKAIAN PORTFOLIO

Semasa pembentukan kabinet awal, Hajiji telah melantik ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan sementara ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun pula dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Namun, perubahan berlaku selepas poftfolio diserahkan kepada menteri yang dilantik. Wujud spekulasi yang mendakwa Bung Moktar tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut sehingga memaksa Hajiji menyerahkan portfolio Menteri Kerja Raya kepada timbalannya itu dan menyerahkan portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Masidi.

Bagaimanapun, Bung Moktar menafikan perkara tersebut dan menyifatkan apa yang berlaku hanyalah masalah komunikasi.   

JEFFREY LETAK JAWATAN TIMBALAN MENTERI

Dalam pada itu, penubuhan kabinet baharu di Sabah telah menyaksikan ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletakkan jawatannya serta-merta sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau meletakkan jawatan tersebut sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Perikanan dan Pertanian.  

Perletakan jawatan Ahli Parlimen Keningau itu dibuat dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

*Sabah terbahagi kepada lima kawasan pentadbiran iaitu Pantai Barat, Pedalaman, Kudat, Sandakan dan Tawau.

Berdasarkan carta, PN mendominasi kerusi DUN di kawasan pentadibiran Pantai Barat, Pedalaman dan Sandakan manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) pula cenderung menguasai Tawau.

Dominasi kedua-dua parti dilihat hampir sama di bahagian Kudat sementara Warisan turut menunjukkan tentangan hebat terhadap PN dengan meraih kerusi di kawasan yang didominasi oleh parti kerajaan itu iaitu Pantai Barat.

Rata-rata kerusi yang diraih Warisan di Pantai Barat berada di kawasan majoriti penduduk Cina seperti Likas, Api-Api, Luyang, Kapayan serta Bumiputera bukan Islam seperti Moyog, Limbahau dan Bongawan.

Dominasi PN pula dilihat lebih kepada kerusi Bumiputera bukan Islam atau Kadazan Dusun Murut (KDM) yang berada di bahagian tengah negeri itu termasuk sebahagian besar Bahagian Pedalaman seperti Tambunan, Kundasang, Bingkor, Sook, Kadamaian dan sebagainya yang sebelum ini disandang oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star)  

Sementara sokongan terhadap Warisan diperoleh daripada penduduk majoriti Islam di hampir semua kawasan pesisiran pantai yang dihuni oleh orang Bajau, terutamanya di Tawau dan Pantai Barat.

Parti paling dominan

Walaupun tewas pada PRN lalu, namun Warisan membuktikan parti itu mendapat sokongan yang tinggi daripada rakyat Sabah.  

Parti tempatan itu berjaya memenangi 29 daripada 54 kerusi yang ditandingi, sekali gus menjadi parti tanpa gabungan paling banyak memenangi kerusi pada PRN Sabah ke-16 itu.

Di samping itu, kejayaan meraih jumlah kerusi yang banyak juga membuktikan bahawa Warisan adalah parti paling dominan di Sabah.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Warisan kerusi kerusi dimenangi termasuk menerusi UPKO dan PKR gagal menyaingi jumlah kerusi kerusi dimenangi gabungan PN, BN dan PBS.

Tumbangnya ‘gergasi’ Sabah

Lebih kurang lima orang gergasi politik Sabah yang terdiri daripada pemimpin utama parti politik tempatan tewas pada PRN lalu.

Madius, Anifah dan Kah Kiat tewas di tangan penyandang kerusi sementara Pandikar Amin dan Amarni pula kepada calon baharu.

Kesilapan milih kerusi ditandingi adalah antara faktor kepada penyumbang kekalahan mereka sementelah pula anifah dan Anifah sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen.   

TUAH KERUSI BAHARU  

Pada PRN Sabah lalu, sebanyak 13 kerusi baharu telah dipertandingkan bagi membentuk keseluruhan 73 kerusi DUN, berbanding 60 sebelum ini.

Tamat PRN, BN dilihat berjaya mendominasi kerusi baharu berkenaan dengan memenangi lima DUN manakala PN pula hanya mampu memenangi tiga DUN.

Sementara Warisan pula dilihat berjaya menguasai empat DUN yang mana dua berada di bahagian pentadbiran Pantai Barat manakala dua lagi di Tawau.

PBS yang menjadi sekutu PN dan BN juga tidak ketinggalan menguasai kerusi baharu berkenaan dengan menakluk DUN Telupid menerus calonnya iaitu Jonnybone Kurum.

Kesemua kerusi dipertandingkan itu tidak hanya dimenangi oleh gergasi politik Sabah, malah turut dimenangi oleh muka baharu seperti Rina, Shahelmey dan Fairuz.

 

DUN GOYAH DENGAN MAJORITI TIPIS

DUN PINTASAN

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Negeri Sabah, Fairuz Renddan yang bertanding  atas tiket PN berjaya menewaskan veteran politik yang juga Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia bagi penggal ke-12 itu tewas dengan majoriti tipis iaitu 84 undian.

Pandikar sebelum ini menyandang kerusi DUN Tempasuk pada 1994 hingga 1999, sebelum dilantik sebagai Senator pada 1999 sehingga tahun 2002 dan bertanding semula di kerusi DUN Tempasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 (2004).

Peratusan pengundian di DUN Pintasan ialah 75.80 peratus daripada 10,867 pemilih berdaftar yang keluar mengundi.

Bagi komposisi wanita bagi DUN Pintasan ialah 53 peratus manakala lelaki 47 peratus.

DUN KARAMBUNAI

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Yakubah Khan berjaya menewaskan calon Warisan, Ahmad Jais Otong dengan majoriti tipis iaitu 16 undi.

Ahmad yang juga Timbalan Ketua Bahagian Sepanggar adalah antara muka baharu diberi tanggungjawab oleh Warisan setelah penyandang kerusi Dun Karambunai, Azhar Matussin digugurkan. Bagaimanapun, percaturan Warisan tersasar hingga kerusi DUN Karambunai dimenangi BN.

Peratusan pengundian di DUN Karambunai ialah 61.79 peratus daripada 19,560 pemilih berdaftar yang keluar mengundi.

Bagi komposisi wanita bagi DUN Karambunai ialah 48 peratus manakala lelaki 52 peratus.

DUN KUKUSAN

Muka baharu daripada Warisan, Rina Jainal mengetepikan calon veteran BN, Chaya Sulaiman dengan majoriti tipis 10 undi untuk DUN Kukusan antara DUN baharu bagi PRN Sabah.

Rina yang juga Ketua Wirawati Warisan Bahagian Kalabakan menang dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi berkenaan dengan memperoleh 2,834 undi manakala Chaya mendapat 2,824 undi.

Peratusan pengundian di DUN Kukusan ialah 53.97 peratus daripada 12,640 pemilih berdaftar yang keluar mengundi. 

Bagi komposisi wanita bagi DUN Kukusan ialah 48 peratus manakala lelaki 52 peratus.

 

CALON BEBAS BERPENGARUH TEWAS PRN SABAH

Kecewa nama digugurkan saat akhir, berasa dikhianati parti, tiada kesepakatan dan pentingkan diri adalah antara punca calon keluar daripada parti dan menjadi calon Bebas.

Ini dapat dilihat pada 13 calon Bebas berpengaruh yang bertanding pada PRN Sabah ke-16.

Ia merupakan satu ‘perjudian’ yang biasa dilihat dalam pilihan raya yang mana calon berharap dapat mengekalkan kuasanya walaupun tidak lagi bersama parti yang memenangkannya sebelum ini.  

Antara penyandang yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas ialah, Lasiah Baranting (Tandek), Musbah Jamli (Tempasuk), Kenny Chua Teck Ho (Inanam), Abdul Rahman Kongkawan (Labuk) dan Saddi Abdul Rahman (Sukau).

Bagaimanapun, mereka tewas di gelanggang sendiri, sebaliknya hanya Masiung Banah berjaya mengekalkan kerusi di DUN Kuamut.

 

CALON BEBAS MENANG PRN SABAH

PRN kali ini menyaksikan pengundi di tiga DUN membuat kejutan apabila memilih calon Bebas bagi mewakili mereka di DUN Sabah. .

Pada PRU-14 lalu, DUN Pitas, Kemabong dan Kuamut dimenangi BN namun kali ini calon Bebas telah menguasai ketiga-tiga DUN berkenaan.

Meskipun terpaksa bersaing sengit dalam pertembungan empat dan lima penjuru namun ia tidak menghalang calon Bebas memperoleh majoriti mengatasi jumlah sipi-sipi sebagai mana diperoleh calon parti lain yang menang di Pitasan, Karambunai dan Kukusan.

Bagi DUN Kemabong, khabar angin mengatakan pengundi ‘merajuk’ kerana wakil rakyat kesayangan mereka, Jamawi Jaafar tidak dicalonkandi DUN Melalap mungkin memberi kelebihan kepada calon Bebas untuk meraih undi.

Bagi DUN Kuamut, penyandangnya iaitu Datuk Masiung membawa kemenangan sekali lagi meskipun bertanding atas tiket Bebas setelah keluar daripada  UPKO dan Warisan.

Bagi Datuk Seri Ruddy Awah, pengalaman luas dalam politik dan pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti sebelum ini memberi keyakinan kepada majoriti penduduk DUN Pitas untuk membuang undi kepadanya.

 

PERTEMBUNGAN PN DAN BN, SIAPA UNTUNG?

Pada PRN Sabah yang lepas, calon PN dan BN telah bertembung di 17 kerusi di Bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat.

Bagaimanapun, pertembungan nampaknya memberikan kelebihan kepada PN kerana calon bertanding adalah penyandang kerusi yang sudah tentu dipercayai rakyat di kawasan DUN ditandingi seperti Bingkor, Paginatan dan Sook.

Di samping itu, PN turut mencatat di kemenangan di kawasan majoriti Muslim iaitu Liawan dan kerusi baharu iaitu Tulid.  

Sementara BN pula hanya meraih kemenangan di sebuah kerusi yang juga DUN baharu iaitu Bengkoka.

Faktor kegagalan BN itu dipercayai berpunca daripada muka baharu yang diletakkan selain bertanding di kubu kuat Warisan, UPKO dan PBS.

*PBS menyokokng PN

 

CALON LELAKI DAN WANITA MUDA BAWAH 40 TAHUN PRN SABAH

Rata-rata parti yang bertanding pada PRN Sabah menampilkan ‘wajah baharu’ yang juga calon anak muda dalam kancah politik, tidak kisah dari parti mana sekalipun sama ada kerajaan atau pembangkang.

Perubahan itu memberi gambaran anak muda Sabah sudah memahami situasi politik selain memberi peluang kepada pengundi memilih calon yang terbaik buat mereka.

Bagi Warisan, mereka mempertaruhkan 40 peratus calon muda. Begitu juga Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan BN agar sentuhan anak muda mampu membawa anjakan paradigma dalam masyarakat dan sosio ekonomi tempatan.

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI RENDAH  

PRN Sabah yang lepas mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus melibatkan 749,083 pengundi.

Jumlah dicatatkan 3.12 peratus lebih rendah berbanding peratusan keluar mengundi PRU-14 di negeri itu.

Untuk rekod, peratusan keluaran mengundi yang dicatatkan Sabah pada pada PRU-14 ialah 69.73 peratus.

Walaupun tidak banyak bezanya, namun jumlah dicatatkan pada PRU-14 itu masih tinggi kerana pilihan raya hanya melibatkan 60 DUN berbanding 73 DUN pada PRN Sabah yang lalu.

Faktor penularan koranavirus (Covid-19) dilihat menjadi punca kenapa peratusan keluar mengundi rendah pada PRN Sabah itu.

Tambahan pula, beberapa kawasan seperti Tawau, Lahad Datu dan Semporna diisytiharkan sebagai zon merah sebelum berlangsungnya pilihan raya berkenaan.

Zon merah Covid-19 yang terletak di bahagian Tawau itu menyaksikan peratusan keluar mengundi di setiap DUN tidak lebih daripada 60 peratus.

Sementara di bahagian Pantai Barat, Pedalaman, Kudat dan Sandakan peratusan keluar mengundi di setiap DUN melebih 60 peratus.

 

PARTI KALAH TERUK, JUMLAH DEPOSIT HANGUS  

PRN Sabah ini menyaksikan pertandingan yang cukup meriah apabila banyak parti politik dan calon bebas bertanding.

Malah, setiap DUN juga wujud pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dan ada juga DUN menyaksikan persaingan sehingga 10 dan 11 penjuru seperti di N18 Inanam dan N02 Bengkoka.

PCS adalah parti yang bertanding di kesemua 73 DUN namun tewas di kesemua kerusi dan hilang deposit sebanyak RM340,000.

Namun, parti itu masih beruntung kerana lima daripadanya calonnya berjaya menyelamatkan wang desposit dipertaruhkan daripada hangus.  

Nasib sama juga dialami oleh USNO dan LDP apabila kedua-duanya hilang wang desposit yang dipertaruhkan.

Bagaimanapun, nasib LDP baik sedikit berbanding USNO kerana satu daripadanya calonnya berjaya menyelamatkan wang desposit daripada hangus.

Berdasarkan kiraan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon bertanding perlu membayar deposit sebanyak RM5,000 bagi pemilihan ADUN dan RM3,000 untuk bahan kempen.

Ini bermakna, seorang calon yang bertanding untuk kerusi DUN perlu menyediakan sebanyak RM8,000 sebagai wang deposit.

Dianggarkan, sebanyak RM3,576,000 dikumpulkan pada PRN Sabah lalu melibatkan seramai 447 calon daripada 15 parti bertanding di 73 kerusi.

Hajiji Mohd NoorPRN Sabah
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :