Tidak sesuai PRU, PRN, kata SPR

PUTRAJAYA - Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Umum (PRU) tidak sesuai diadakan pada masa ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, isu keselamatan paling utama dalam mendepani pandemik tersebut.

"Saya mohon kalau boleh tiada pilihan raya ketika ini," katanya pada sidang akhbar sempena PRK Batu Sapi di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kesiapsiagaan SPR selepas Sarawak dijangka mengadakan PRN dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai adakah SPR mencadangkan kepada kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sandakan berikutan Covid-19, beliau berkata, SPR hanya memberi pandangan kepada kerajaan sebelum ia diputuskan.

"Sebarang kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, istilah darurat kebiasaannya melibatkan keselamatan negara.

"Bagaimanapun bagi wabak Covid-19 kita tidak pasti kerana ia perkara baru," katanya.

Sebelum ini, Abdul Ghani dalam laporan media tempatan berkata, pilihan raya akan ditangguhkan sekiranya tempat berkenaan diisytihar sebagai darurat.