Lantikan baharu pimpinan Armada Bersatu persediaan hadapi pilihan raya akan datang

SHAH ALAM - Lantikan baharu kepimpinan bagi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan strategi mengukuhkan sayap parti itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham berkata, pelantikan ahli jawatankuasa dan pegawai sayap dilakukan selaras Perkara 6, Peraturan Armada Bersatu Malaysia.

"Menuju kemenangan dalam pilihan raya akan datang, Armada Bersatu Malaysia perlu bergerak sebagai satu pasukan yang utuh dan efektif.

"Hal ini menuntut Armada untuk siap siaga dengan struktur organisasi yang mantap serta pergerakan kemas dan tersusun.

"Pelantikan ini dimulakan dengan jawatan Penolong Setiausaha yang diberikan kepada Mohd Fahim Mohd Farid dari Wilayah Persekutuan; Penolong Bendahari, Nor Zahid Rahim (Sabah) dan Ketua Penerangan, Harris Idaham Rashid (Pulau Pinang)," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu, pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027.

Kemenangan itu diperoleh selepas undian Hilman 1,888 mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan 170 undi yang meraih 1,718.

Mengulas lanjut, Muhammad Hilman memaklumkan, lantikan lima orang ahli jawatankuasa Armada diberikan kepada Naim Brundage dari Melaka, Ad Adib Shaharuddin (Wilayah Persekutuan), PU Raihan Husni (Negeri Sembilan), Muhammad Afiq Hassan (Kelantan) dan Mohammad Shakir Ariff Shaifuddin (Selangor).

Dalam pada itu, katanya, bagi ex-officio diserahkan kepada Amar Pared Mahamud dari Kedah, Izhar Shah Arif Shah (Pulau Pinang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin dari Perak.

"Ini bermaksud keseluruhan ADUN atau wakil rakyat Armada dengan ini dilantik sebagai ex-officio bagi jawatankuasa Armada Bersatu mulai hari ini.

"Seterusnya, ada tiga lantikan biro yang dicadangkan pada kerana kita rasakan ketiga-tiga biro ini penting bagi Armada bergerak sebagai satu pasukan dan ketumbukan yang lebih utuh demi menyantuni rakyat.

"Pertama, Armada memperkenalkan biro baru untuk segera menggerakkan dukungan khususnya generasi baru di felda. Saya umumkan Azizan Abdul Aziz dari Pahang bagi jawatan tersebut, manakala Biro Guaman dan Undang-Undang diberikan kepada Zolazrai Zolkapli (Negeri Sembilan) dan Biro Sukan dan Pop Culture, Muhammad Syamel Md Riduan (Kedah).

"Lantikan tiga orang ini membawa hasrat dan tekad untuk memastikan Armada dapat bersama dengan denyutan nadi anak muda di Malaysia. Semoga dengan pelantikan itu, Armada Bersatu Malaysia dapat membangunkan pasukan yang dinamik dan progresif," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat seluruh keluarga besar Armada Bersatu Malaysia yang memberikan mandat kepadanya dan seluruh saf kepimpinan baru.

Menerusi penjawatan tersebut, beliau berikrar untuk cekal setia bersama ketumbukan Armada Bersatu Malaysia dan siap siaga untuk mengabdikan diri dalam perjuangan parti berkenaan.

Pada masa sama, Muhammad Hilman berkata, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu merupakan wahana memperkukuh kesatuan dikalangan kepimpinan dan anggota untuk menjana perubahan yang lebih substantif buat rakyat.