SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Sabah secara asasnya sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan mereka tidak akan berkompromi dan mungkin bergerak solo sekiranya tiada kata sepakat dicapai dalam rundingan parti itu bersama PH.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Libaran itu turut mengesahkan BN Sabah sudah mengadakan perbincangan dengan wakil PH berkaitan persiapan menghadapi PRN pada 5 November lalu.
Jelasnya, dalam perbincangan berkenaan, kedua-dua koalisi bersetuju mewujudkan satu ‘platform komunikasi’ atau jawatankuasa khas.
Tambah beliau, ini penting bagi membincangkan dan memperhalusi segala perancangan berhubung persiapan menghadapi PRN Sabah yang dijadual diadakan sebelum Oktober 2025.
“BN Sabah juga bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak sebagai persiapan PRN Sabah tahun hadapan.
“Dalam mesyuarat berkenaan, BN juga menegaskan bahawa kami bersedia bergerak secara solo sekiranya tiada kata sepakat dapat dicapai melalui perbincangan dengan PH,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BN Sabah bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan gabungan parti lain.
Dalam perkembangan lain, Suhaimi menegaskan BN Sabah bukan sahaja berkeyakinan mempertahankan 14 kerusi DUN yang dimenangi dalam PRN pada tahun 2020.
Beliau bahkan yakin BN Sabah mampu menambah jumlah kerusi DUN pada PRN17 kelak.
Keputusan PRN Sabah ke-16 lalu menyaksikan Warisan menang 29 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) 17 kerusi, BN (14), Parti Bersatu Sabah (tujuh), Parti Keadilan Rakyat (dua), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (satu) dan Bebas (tiga).
Berikutan itu, PN, BN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bergabung tenaga membentuk satu koalisi politik baharu dikenali GRS bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.
Penubuhan kerajaan negeri baharu tercapai setelah GRS memperolehi majoriti tipis sebanyak 38 kerusi daripada 73 kerusi DUN dalam PRN16, berbanding Warisan Plus yang turut dianggotai PH ketika itu menguasai 32 kerusi DUN.
Bagaimanapun, landskap politik Sabah berubah pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara ini terjadi apabila majoriti ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Hajiji bertindak keluar PN untuk kekal bersama GRS menyokong Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar.