Sanusi jawab tuduhan Ahmad Zahid

ALOR SETAR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa berdendam terhadap Pas berikutan beberapa tuntutan sebelum ini tidak dipersetujui parti itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini menyebabkan beliau begitu marah terhadap Pas khususnya kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, disebabkan itu, Ahmad Zahid enggan menjalin kerjasama dengan Pas kerana parti itu mempunyai pendirian yang tegas dalam isu-isu tertentu.

“Kenapa Pas tak dapat penuhi tuntutan Ahmad Zahid? Ada rakaman video dalam TikTok yang memuat naik ucapan Abdul Hadi tentang tuntutan Ahmad Zahid yang tidak dapat kita tunaikan.

“Antaranya pertembungan pertikaian tentang siapa akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (sebelum ini). Kedua, membabitkan kes mahkamah beliau, yang mana Pas mahu kes terbabit dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

“Itu pendirian yang kita ambil pada ketika itu. Ia menyebabkan Ahmad Zahid marah sangat pada Pas. Dia punya kudis banyak, nak tunjuk kudis kita buat apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi bayangan tidak akan ada kerjasama antara UMNO dan Pas selagi Abdul Hadi memegang jawatan.

Ahmad Zahid menyatakan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

UMNO dan Pas pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya PRU13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah tegaskan, Pas juga tidak mahu menjalin kerjasama bersama UMNO selagi Ahmad Zahid mengetuai UMNO.

“Ahmad Zahid menggunakan UMNO untuk kepentingan diri. Saya percaya semua orang sedar tentang ini.

“Beliau heret UMNO kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun dia pernah bersumpah dengan nama ALLAH sebelum itu, No Anwar No DAP tetapi dia pergi juga.

“Semua orang dengar sumpah dia. Boleh pakai kah orang macam itu?” soalnya.

Sanusi berkata, tidak mustahil itu antara punca menyebabkan semakin ramai menolak gabungan PH-UMNO termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Saya percaya mereka semua sedar perkara itu,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!