Fokus Shafie hanya untuk menang PRN

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan mengulas mengenai pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa cukup majoriti sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah itu hanya mahu partinya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Mohd Shafie, hanya berbaki dua hari lagi untuk beliau berkempen sebelum hari pengundian Sabtu ini.

"Saya hanya mahu fokus kepada pilihan raya. Hanya ada satu atau dua hari sahaja lagi. Saya di sini mahu menang pilihan raya di Sabah," katanya kepada pemberita pada Program Sabah Unity bersama belia di Teluk Likas di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, apa yang menjadi keutamaannya kini ialah memastikan Sabah mendapat satu kerajaan yang stabil.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu kerana fokus kini untuk menang pilihan raya di Sabah. Biar kami fokus dan mahukan sokongan terhadap Kerajaan Warisan," katanya.

Semalam, Anwar pada satu sidang akhbar mendakwa memiliki majoriti sokongan daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Anwar mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin runtuh.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam kenyataannya memaklumkan bahawa beliau masih Perdana Menteri yang sah dan pembentukan kerajaan perlu dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.