Arah PDRM siasat dakwaan Tun Mahathir

BAGAN DATUK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya pesawat yang ingin dinaiki beliau ke Langkawai semalam disabotaj.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai unsur sabotaj tersebut daripada Ketua Polis Kedah atau Ketua Polis Daerah Langkawi.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya telah mengarahkan polis tidak memihak kepada sesiapa sahaja dan kita tidak mahu sebarang unsur sabotaj terhadap mana-mana calon parti yang bertanding.

"Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Tun Mahathir dan berharap ia tidak dilakukan oleh pihak tertentu untuk menghalang beliau bertanding pada PRU14 di Parlimen Langkawi," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, pagi ini.

Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk, berkata pihaknya akan memastikan semua agensi penguatkuasaan memberi perhidmatan terbaik kepada semua pihak termasuk Tun Mahathir.

"Diharapkan apa yang dinyatakan beliau bukanlah satu realiti yang perlu dihadapi oleh mana-mana calon bertanding dalam PRU14 ini," katanya.

Terdahulu, Tun Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi untuk menghadiri majlis minum petang bersama masyarakat Cina dan India di pulau berkenaan telah disabotaj.

Menurut laporan salah sebuah portal, Pengerusi Bersatu itu sudah menaiki pesawat tersebut untuk menuju ke Langkawi dari Subang tetapi dimaklumkan oleh juruterbang bahawa tayar pesawat itu telah bocor.

Ahmad Zahid HamidiMahathir Mohamad