penamaan calon di pasir gudang bermula

PASIR GUDANG - Proses penamaan calon bagi PRU14 Parlimen Pasir Gudang di Stadium Majlis Perbandaraan Pasir Gudang (MPPG), di sini, bermula kira-kira jam 9.15 pagi dan telah ditutup sebentar tadi.

Namun, kawasan itu telah dikerumuni ribuan penyokong dari pelbagai parti sejak jam 8 pagi merangkumi BN, Pakatan Harapan (Harapan) dan Gegasan Sejahtera.

Pada PRU14 kali ini, kesemua parti komponen Harapan iaitu PKR, Bersatu, DAP dan Amanah akan menggunakan nama dan logo PKR.

Dalam masa sama, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dun Permas hadir bersama lebih 1,000 penyokong parti komponen kira-kira jam 8.40 pagi.

Turut sama, mengiringinya Datuk Tan Cher Puk (BN) yang bertanding bagi kerusi DUN Johor Jaya.

Terdahulu, kesemua calon parti pembangkang iaitu Ab Aziz Abdullah (Pas) dan Hassan Abdul Karim (PKR) yang bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang telah tiba kira-kira 8.30 pagi.

Mohamed Khaled (BN) dan Ab Aziz (Pas) adalah calon yang bakal bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Pasir Gudang dan Adun Permas.

Manakala daripada pihak PKR, dilihat Datuk Seri Che Zakaria sebagai calonnya.

Calon pembangkang bagi kerusi Dun pula yang hadir Liow Cai Tung (DAP) dan R Kumutha (PAS) untuk kerusi Dun Johor Jaya.

Selain itu, dua calon bebas turut bertanding iaitu Bekas Pengerusi DAP Cabang Johor Bahru, Sey Jock, 70, bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang dan seorang ahli perniagaan wanita, Rohani Yaacob, 34, bagi kerusi Dun Permas.

 

Mohamed Khaled NordinAb Aziz AbdullahChe ZakariaPasir Gudang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :