Jika pernah menjadi guru, selamanya nama kekal sebagai cikgu ataupun ustaz biarpun telah bergelar yang berhormat.
Begitulah lumrah kehidupan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan yang pernah menjadi guru selama 35 tahun.
Memulakan kerjaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Purun Triang, Pahang pada 1979 beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Adanan kemudiannya dilantik menjadi Penolong Kanan 1 di SK Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Pernah ditukarkan ke SK Jerek, Gua Musang, Kelantan sebelum dilantik menjadi Guru Besar SK Pos Brook di daerah sama.
Beliau bersara pada 2014 dan kemudiannya menyambung tugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Kelantan yang ketika itu masih Datuk Ahmad Yacob.
Dilahirkan Padang Tembesu, Tumpat pada 2 Ogos 1955, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Tumpat ini pernah menjadi Ketua WHIP Ahli Majlis Daerah Tumpat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 Mohd Adanan daripada Gagasan Sejahtera (Pas) menang dengan mendapat 12,422 undian ketika menentang Hashim Mohamad daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 7,493 undi.
Majoriti undi sebanyak 4,929.