Anak sulung kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak tahun 2018.
Beliau yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, dilahirkan pada 19 November 1980.
Pada 2018, Nurul Izzah telah melepaskan jawatan Naib Presiden PKR juga jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Beliau mahu menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat jawatan dalam parti.
Dalam soal pendidikan, Nurul Izzah mendapat pendidikan terawal di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Ketika pendidikan menengah, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Sri Bandaraya dan Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya, Selangor.
Di peringkat universiti, beliau menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.
Kemudian berpindah ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik dan menerima ijazah pertamanya pada tahun 2004.
Beliau seterusnya menyambung pengajian Ijazah Sarjana (MA) di School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington di dalam bidang Kajian Asia Tenggara, Hubungan Antarabangsa dan tamat pengajian pada Mei 2007.
Beliau telah menamatkan zaman bujang pada 2003 bersama Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan dikurniakan dua cahaya mata, namun pada 2015, beliau disahkan berpisah.
Perjalanan politik, Nurul Izzah pernah digelar 'Puteri Reformasi' kerana aktif dalam gerakan Reformasi 1998 dan wajahnya pernah muncul dalam CNN dan BBC.
Selepas menuntut di universiti, Nurul Izzah menjadi penyelaras politik di pejabat PKR. Seterusnya menjadi sukarelawan kepada pasukan Pemantau Kesihatan Global (Global Health Watch) dan menjadi ahli majlis Forum Antarabudaya Pemimpin Wanita yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.
Sejak 2001, Nurul Izzah bersama teman-teman dari badan-badan bukan kerajaan seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) dan ALTSEAN BURMA bersama pelajar Malaysia termasuk luar Negara di universiti-universiti seluruh dunia bagi menyuarakan masalah hak asasi manusia seperti tahanan ISA di Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum Ke 14, Nurul Izzah daripada Pakatan Harapan menang dengan mendapat 35,534 undian ketika menentang Mohd Zaidi Mohd Said daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 19,866 undi dengan majoriti undi sebanyak 15,668.
ARTIKEL BERKAITAN
Anwar dedah punca Izzah letak jawatan