Nik Mohd Amar Nik Abdullah

Maklumat Diri
Asal
Kota Bharu, Kelantan
Tarikh lahir
29/7/1959
Pasangan
Datin Hasmani Hussain

Terkenal sebagai seorang yang lantang mengutarakan pendirian Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah merupakan pemimpin yang disegani ahli parti mahupun parti lawan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Nik Mohd Amar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor dan menang dengan mendapat 13,597 undian ketika menentang Zarina Md Eusope daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 6,309 undi. 

Majoriti undi yang diperoleh sebanyak 7,288.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak dan Naib Presiden Pas. 

Di peringkat kerajaan negeri pula, beliau merupakan Timbalan Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli Negeri Kelantan.

Bonda Nik Amar sebenarnya cicit kepada Sultan Muhammad III melalui nendanya YM Tengku Halimah binti Tengku Long Zainal Abidin bin Sultan Muhammad III.

Anak sulung kepada pasangan Allahyarham Abdullah Arshad (Pak Nik Lah) dan YM Tengku Chik Tengku Ibrahim ini kemudiannya diberi gelaran Nik Mat (Nik Mohd) oleh Tok Ku Puan yang mengasuhnya ketika kecil. 

Masyarakat setempat di Kampung Panchor pula lebih mesra memanggilnya Nik Amar hinggalah sekarang. 

Begitu juga ayahandanya yang digelar Pak Nik Lah, diambil daripada isteri kepada datuknya Arshad bin Tahir bin Tok Tera seorang ulama yang lebih dikenal dengan Tok Ayah Kedah yang berkahwin dengan YM Raja Meriam berketurunan Raja Jembal.

Hasil perkongsian hidup dengan Datin Hasmani Husain, beliau dikurniakan empat cahayamata, dua lelaki dan dua perempuan.

Anak sulung beliau, Taqiyuddin merupakan seorang huffaz dan pelajar cemerlang di MTAQ Pulai Chondong.

Bagaimanapun, Taqiyuddin meninggal dunia pada Jun 2004.

Sejak kecil beliau dididik dengan disiplin Islam yang ketat oleh ayahandanya.

Nik Amar mendapat pendidikan awal di Pondok Tok Ayah Kedah, Panchor yang diasaskan oleh datuknya. 

Dalam masa yang sama beliau bersekolah di Sekolah Melayu Majlis (1965-1971) dan meneruskan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah di United Kingdom.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Nik Amar merupakan seorang Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor dan sempat berkhidmat selama 10 tahun (1985-1995). 

Sebelum itu pernah menjawat sebagai Penguasa Kastam (Sangkut) selama setahun di Pulau Pinang. 

Beliau seterusnya dipanggil pimpinan Pas Kelantan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dan seterusnya bertanding sebagai ADUN Panchor hingga sekarang. 

Selain berada dalam Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan, Nik Amar juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan hingga sekarang.

Pencapaian
Kerjaya:
  • Timbalan Menteri Besar
  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli Negeri Kelantan
  • ADUN Panchor
  • Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu, UIAM, Petaling Jaya (1985-1995)
  • Penguasa Kastam (Sangkut), Pulau Pinang

Jawatan dalam parti:

  • Naib Presiden Pas
  • Ahli Majlis Syura Ulamak 
  • Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
  • Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan

Anugerah:

  • Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) (2015)
  • Darjah Dato' Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK)  (2009)
  • Setia Jiwa Mahkota Kelantan (JMK) 2006
Pendidikan:
  • Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Teologikal, University of Birmingham United Kingdom (1985-1988)
  • Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1979-1983)
  • Maahad Muhammadi Lelaki (1978-1979)
  • SMU (A) Tarbiah Mardhiah (1972-1977)
  • Sekolah Melayu Majlis (1965-1971)
  • Pondok Tok Ayah Kedah, Panchor
     
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Gagasan Sejahtera
Parti: PAS
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN: Tiada
Kerusi Bertanding DUN:
  • PRU12- P20 Pengkalan Chepa N7 Panchor
  • PRU13- P20 Pengkalan Chepa N7 Panchor
  • PRU14- P20 Pengkalan Chepa N7 Panchor