Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 16 Jun 1960, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mempunyai sejarah pencapaian pendidikan yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi.
Beliau mendapat ijazah sarjana muda dalam Pentadbiran Perniagaan pengkhususan Perakaunan dari Ohio University, Athens sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang sama di University of Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat.
Che Abdullah kemudiannya mendaftar untuk meneruskan pengajian ke peringkat doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Anak jati Kelantan ini merupakan anak ketiga daripada lima beradik.
Bapanya, Mat Nawi Bakar dan ibu, Che Rogayah Che Abdullah.
Beliau dibesarkan dalam keluarga yang taat dalam agama.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Che Abdullah Mat Nawi daripada Pas memenangi kerusi Parlimen Tumpat dengan mendapat 47,041 undian ketika menentang Wan Johani Wan Hussein daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 29,541 undi.
Beliau mendapat majoriti undi sebanyak 17,500.
Che Abdullah yang mesra dengan panggilan Che Lah memasuki gerbang perkahwinan pada tahun 1986.
Isterinya Saleha Yaacob merupakan adik kepada mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Hashim Yaacob.
Pasangan ini dikurniakan lapan cahaya mata dengan empat putera dan empat puteri.
Ketika berada di Connecticut, Amerika Syarikat, Che Lah menjalankan perniagaannya sendiri dan menubuhkan Kerdut International Inc.
Pada 1997, Che Lah pulang ke Malaysia lalu menubuhkan syarikat Abe Consulting Group Sdn Bhd.
Syarikat itu menjalankan kegiatan rundingan nasihat dalam bidang ICT dan pelbagai seminar inovasi.
Perjalanan kerjayanya sangat cemerlang sehingga dilantik menjadi ahli lembaga pengarah dalam pelbagai organisasi.