Mohamad Hasan

Maklumat Diri
Asal
Kampung Kundur Hilir, Rembau
Tarikh lahir
2/5/1956
Pasangan
Datin Seri Utama Raja Salbiah Tengku Nujumudin

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan ADUN Rantau sejak 2004.

Beliau dilahirkan di Kampung Kundur Hilir, Rembau, Negeri Sembilan, pada 2 Mei 1956.

Mohamad menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau, dan menyambungkan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau. 

Selepas menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah, beliau terus ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ampuan Durah, Seremban, dan kemudian melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Malaya pada tahun 1976.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pelatih Bank Negara Malaysia, termasuk penolong pengurus di Malayan Banking Berhad, dan pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank Berhad. 

Mohamad kemudiannya berpindah kerjaya ke Bank Bumiputra Malaysia Berhad, dan pernah bertugas sebagai pengurus besar Bank Bumiputra London (1988-1992).

Selepas berkecimpung dalam dunia perbankan, beliau berpindah ke sektor korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad (1992-1994). 

Jawatan terakhirnya di sektor korporat ialah sebagai Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad (1994-2004).

Selain daripada itu, Mohamad juga pernah memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah di Khazanah Nasional Berhad, dan juga sebagai Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad, serta Ahli Lembaga Pengarah Sepang International Circuit (SIC). Beliau turut diberi kepercayaan menjadi penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd untuk rantau Asia Tenggara.

Boleh dikatakan perjalanan beliau dalam bidang politik bukan secara kebetulan semata-mata kerana adik-beradiknya aktif dalam UMNO. Abang sulungnya, Datuk Azman Hasan merupakan bekas setiausaha UMNO Negeri Sembilan sementara adik beliau, Datuk Abdul Ghani pernah berkhidmat sebagai ADUN Rantau pada 1999.

Selepas dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi DUN Rantau menggantikan adiknya, beliau berjaya mengekalkan kerusi DUN Rantau dengan kelebihan 6,199 undi mengatasi calon keadilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard semasa PRU 2004.

Berikutan kejayaan besar UMNO pada PRU tersebut, Mohamad mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004 menggantikan penyandangnya, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Semasa penggalnya sebagai Menteri Besar, beliau memanfaatkan pengalaman dalam dunia korporat untuk memacu ekonomi negeri tersebut.

Semasa penggal 2013 hingga 2018, Negeri Sembilan terus mencatat prestasi ekonomi yang membanggakan. Pada 2015, negeri ini berjaya melepasi sasaran menarik pelaburan RM1 Billion.

Dalam pada itu, beliau juga dilantik Ketua UMNO Bahagian Rembau, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan Timbalan Presiden UMNO Malaysia.

Pada 18 Disember 2018, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beliau dilantik untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO berikutan beliau ingin memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang masih dalam tempoh perbicaraan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 14, Mohamad daripada Barisan Nasional menang dengan mendapat 10,397 undian ketika menentang Streram Sinnasamy daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 5,887 undi dengan majoriti undi sebanyak 4,510.

Pencapaian
Kerjaya:
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau (2004-kini)
  • Bekas Menteri Besar (2004-2018)
  • Penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd  Asia Tenggara
  • Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad (1994-2004)
  • Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad (1992-1994)
  • Pengurus Besar Bank Bumiputra London (1988-1992)
  • Pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank Berhad
  • Penolong Pengurus di Malayan Banking Berhad
  • Pelatih Bank Negara Malaysia

Jawatan Ahli Lembaga Pengarah: 

  • Ahli Lembaga Pengarah Sepang International Circuit (SIC)
  • Ahli Lembaga Pengarah di Khazanah Nasional Berhad, 
  • Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad

Jawatan disandang dalam politik:

  • Timbalan Presiden UMNO Malaysia
  • Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
  • Ketua UMNO Bahagian Rembau
Pendidikan:
  • Jurusan perhubungan antarabangsa Universiti Malaya pada tahun 1976
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ampuan Durah, Seremban
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau
  • Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau 
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Barisan Nasional
Parti: UMNO
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN: Tiada
Kerusi Bertanding DUN:
  • PRU11- P131 Rembau N27 Rantau
  • PRU12- P131 Rembau N27 Rantau
  • PRU13- P131 Rembau N27 Rantau
  • PRU14- P131 Rembau N27 Rantau
  • PRU14- P131 Rembau N27 Rantau

Video Berkaitan Mohamad Hasan