Manifesto Harapan Pahang dilancar esok

KUANTAN - Sebanyak 10 tawaran menarik akan ditawarkan Pakatan Harapan (Harapan) kepada rakyat Pahang menerusi manifesto mereka yang dilancarkan esok.

Tawaran tersebut akan diumumkan bersempena majlis memperkenalkan barisan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dun di negeri ini.

Ketua Jawatankuasa Manifesto Harapan, Lee Chean Chung berkata, kertas polisi mengenai manifesto itu mengandungi 13 muka surat dan dijangka tawaran terbabit mampu menarik rakyat untuk mengundi Harapan.

Menurutnya, daripada 10 tawaran terdapat beberapa tawaran yang dijangka menarik minat rakyat untuk mengundi Harapan.

 Antaranya, Skim Khairat Makmur dan Skim Raya Makmur untuk semua warga emas RM100 pada musim perayaan kepada semua rakyat pelbagai bangsa.

“Selain itu, Skim Mikro Kredit dan pengurangan kuota pembalakan kepada 20 peratus akan dilaksanakan secara berperingkat. Ini dilaksanakan demi memastikan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

“Saya tak boleh ulas lebih lanjut mengenai tawaran ini kerana kita akan buat pengumuman manifesto esok di Hotel Megaview, jam 11 pagi,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pejabat Khidmat Dun Semambu, semalam.

Sebelum itu, Chean Chung memaklumkan, beliau sudah menerima watikah pencalonan untuk bertanding di kerusi Dun Semambu pada PRU14, daripada pucuk pimpinan parti, kelmarin.

Beliau berkata, segala persediaan untuk hari penamaan calon dan kempen sudah diatur sebaiknya.

“Segala gerak kerja telah dilakukan dan diharap berjalan dengan lancar sepanjang proses itu sehingga hari pengundian,” katanya.

Lee Chean ChungPakatan Harapan Pahang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :