PRN BN Negeri Sembilan tanding 17 kerusi termasuk DUN Lenggeng

KUALA PILAH - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain Lenggeng, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang di menangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu manakala Pakatan Harapan (PH) 19 kerusi.

"Ia telah dipersetujui dan dicakapkan kepada saya oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan Majlis Presidennya iaitu Perdana Menteri bahawa beliau telah pun membuat keputusan iaitu kerusi DUN Lenggeng akan diberikan kepada kita.

"Tiada dakwa-dakwi lagi, itu sebabnya saya katakan bahawa keputusan Majlis Presiden itu muktamad. Siapa nak cakap apa cakaplah, melainkan jika ada orang cuba menelan semula dia punya janji," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN berkata, dari segi perkiraan atas kertasnya BN boleh menang.

"Jadi kita akan bertanding di 17 kerusi dan janganlah kita mengambil enteng pula. Jangan mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Parlimen baru- baru ini bahawa kita menang lima (Parlimen) kita boleh menang mudah PRN ini," katanya.

DUN Lenggeng sebelum ini disandang oleh Suhaimi Kassim dari Amanah.

Sinar Harian sebelum ini juga melaporkan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, parti itu akan kekal bertanding di tiga kerusi DUN yang dimenangi ketika PRU14 pada PRN ini.

Katanya, perkara itu telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah iaitu DUN Klawang (N04), DUN Lenggeng (N09), dan DUN Paroi (N25).

Sementara itu mengenai program berkenaan, Mohamad berkata, penyerahan bahagian angkat kepada dua negeri iaitu Melaka dan Johor itu merupakan acara tradisi bagi membantu membawa kemenangan kepada jentera BN pada PRN kali ini.

“Ini menjadi kebiasaan dalam keluarga UMNO yang besar jika ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRN mengadakan sistem bahagian angkat dan negeri angkat dan jentera di bahagian negeri ini akan berkampung untuk membantu pilihan raya di Melak dan Johor membawa kemenangan kedua-dua negeri.

“Jadi, Insya-ALLAH jentera daripada Melaka dan Johor memberi tambahan kekuatan yang sedia ada dalam jentera BN dan ini akan dapat membantu kemenangan kita semasa PRN,” katanya.

 

Negeri Sembilan