Calon terbaik raih sokongan

SEGAMAT – Pemuda Umno Bahagian Segamat yakin pemilihan calon baharu yang mewakili BN untuk Dun Buloh Kasap dan Dun Jementah merupakan calon terbaik bagi meraih sokongan rakyat.

Ketuanya, Bastien Onn berkata, calon Dun Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang juga Ketua Umno Bahagian Segamat dan calon Dun Jementah, Chiam Yok Meng juga merupakan calon tempatan terbukti dekat dengan masyarakat.

“Mereka (Zahari dan Yok Meng) sudah bergerak dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kempen penyediaan pilihan raya sebelum ini dan sudah tentu tiada masalah dapatkan sokongan kerana pengundi sudah kenal mereka.

“Saya yakin kedua-dua dapat beri kemenangan besar kepada BN dan yang paling penting kemenangan kepada rakyat kerana memilih calon yang tepat untuk berkhidmat,” katanya.

Bastien yang juga Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno Malaysia berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Tahunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Badang, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau yakin pengundi di Parlimen Segamat akan menghukum pembangkang pada PRU14 kali ini selain menawan semula kerusi Dun Jementah yang terlepas ke DAP pada PRU13 lalu.

“Walaupun dijangkakan PRU14 sengit kerana terdapat pertembungan tiga penjuru di Parlimen Segamat dan Dun Jementah, kami percaya dengan segala usaha yang dilakukan sepanjang tempoh lima tahun ini, rakyat akan sentiasa menyokong BN.  

“Bagi saya, sudah cukup lima tahun Dun Jementah berada di bawah pembangkang dan kami (Pemuda) akan bergerak bersama-sama dan memberi sokongan kepada calon-calon BN kerana kami bekerja secara berpasukan,” katanya.

PRU14 menyaksikan pertembungan tiga penjuru di Parlimen Segamat iaitu di antara penyandangnya, Datuk Seri Dr S Subramanaim dengan Datuk Seri Dr E Santhara (PKR) dan Khairul Faizi Kamil (Pas).

Sementara itu, di Dun Jementah, penyandangnya dari DAP iaitu Tan Chen Choon akan bertemu calon BN, Chiam Yok Meng dan calon Pas, Khairul Faizi Kamil.

Manakala di Dun Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang menggantikan Norshida Ibrahim akan bertemu calon Bersatu, Norsamsu Yusof.

Zahari SaripSegamat BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :