Enam calon PRK PD akur kemenangan Anwar

PORT DICKSON – Kesemua enam calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akur dengan kekalahan mereka kepada calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemuanya turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan undi kepada mereka meskipun ada dalam kalangan calon, pertama kali menyertai pilihan raya.

Calon bebas yang juga pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen menyifatkan kemenangan Ketua Umum PKR itu memang sudah diduga manakala bekas pensyarah universiti swasta dan merupakan satu-satunya calon wanita, Lau Seck Yan, akur dan menghormati keputusan yang dibuat pengundi Port Dickson.

"Tahniah kepada semua calon yang bertanding... ini semangat demokrasi yang diperjuangkan...semua datang (bertanding) atas dasar untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara yang lebih baik," katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini, malam ini.

Calon Pas Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar pula berpandangan keputusan PRK parlimen itu yang tidak memihak kepadanya merupakan perintis kepada permulaan kerjasama Pas dan Umno di dalam blok pembangkang.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas ketika dihubungi Bernama juga menerima keputusan yang dibuat pengundi Port Dickson dengan tangan terbuka.

“Terima kasih juga pada mereka yang mengundi saya dan saya juga mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kemenangannya," katanya.

Bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan menerusi kenyataan hari ini menyifatkan kekalahannya adalah sebagai permulaan kepada kejayaan peribadinya sebagai calon Bebas meskipun tidak dipilih menjadi wakil rakyat.

Sementara personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong pula mengharapkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dapat memberi sumbangan positif di kawasan berkenaan serta menegakkan agenda Pakatan Harapan dan menunaikan harapan yang diberikan rakyat.

Pada PRK itu, Anwar, 71, memperoleh 31,016 undi, menewaskan Mohd Nazari (7,456 undi) dan lima calon Bebas; Saiful Bukhari (82 undi); Mohd Isa (4,230 undi);  Lau (214 undi); Stevie Chan (337 undi) dan Kan (154 undi). - Bernama
 

Anwar Ibrahim

Berita Popular

Video Popular