Pas hormati keputusan PRK PD

SHAH ALAM - Pas menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya berterima kasih kepada rakyat yang memberi undi kepada calonnya. 

"Pas menghormati keputusan rakyat dalam PRK Port Dickson yang terpaksa diadakan demi kepentingan politik seseorang. 

"Pas mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di atas kepercayaan yang diberikan dengan menunjukkan peningkatan jumlah undi kepada Pas berbanding PRU14.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada calon Pas, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar atas kesungguhan beliau dalam melaksanakan keputusan parti dengan penuh istiqamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan 31,016 menewaskan enam pencabarnya termasuk Mohd Nazari yang mendapat 7,456 undi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan peratusan keluar mengundi yang rendah tanda protes rakyat terhadap kerajaan.

"Peratusan keluar mengundi yang rendah adalah petanda undi protes terhadap kerajaan PH yang gagal melaksanakan manifesto dan menunjukkan rakyat memboikot politik berkepentingan diri. 

"Pas terus komited untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang dan memperjuangkan kebajikan rakyat termasuk warga tentera melalui saluran demokrasi sebagai pembangkang yang menasihat," katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada jentera Pas, rakan-rakan NGO, pasukan keselamatan, media serta semua pihak yang memberi sokongan.

Mohd Nazari Mokhtar