Anwar angkat sumpah Isnin ini

PORT DICKSON - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada Isnin ini.

Anwar yang baru memenangi kerusi Parlimen Port Dickson berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan berkhidmat bersama rakan senior seperti Lim Kit Siang untuk menjadikan agenda reformasi berkesan.

"Saya baru menelefon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau amat gembira dengan keputusan ini.

"Saya percaya semangat kemuafakatan PH dapat dipertingkatkan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, tadi.

Turut hadir adalah beberapa pimpinan tertinggi PKR iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rafizi Ramli, Aminuddin Harun dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Terdahulu, Anwar telah diumumkan sebagai pemenang dalam PRK Port Dickson selepas menewakan enam pencabarnya dari Pas dan Bebas dengan majoriti undi sebanyak 31,016 undi.

Diikuti calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi, calon Bebas, Tan Sri Isa Samad  (4,230 undi), Stevie Chan Keng Leong (337 undi), Lau Seck Yan  (214 undi), Kan Chee Yuen (154 undi) dan Mohd Saiful Bukhari Azlan hanya mendapat 82 undi.

Anwar berkata, keputusan itu cukup memuaskan hati kami yang bertungkus lumus bekerja seluruh peringkat pusat dan negeri.

Katanya, pengundi Port Dickson telah memberikan kepercayaan kepada beliau dan PH untuk mengundinya.

"Keputusan itu di luar jangkaan kerana undi popular mencecah 70 peratus sedangkan undi popular PRU  hanya mencecah 48 peratus. Ini menggambarkan kepercayaan semua kaum memihak kepada PH.

"Dua kawasan Dun yang kita tewas PRU lalu telah kita menang dengan penuh bergaya. Ada beberapa hal yang diperhatikan seperti undi Melayu di beberapa kawasan tewas tipis kini berjaya menang dengan jumlah yang besar, malah undi tentera yang dulu tidak memihak pada kita telah bertambah 122 peratus," katanya.

Mengulas adakah kemenangan ini disebabkan beliau menerima undian daripada penyokong Umno, Anwar berkata, beliau melihat secara keseluruhan tentang hal itu.

"Secara keseluruhannya kita nampak sokongan yang penuh, mungkin daripada pengundi Umno," katanya.

Anwar IbrahimPRK Port Dickson

Berita Popular

Video Popular