Isa rasa diri bertuah dapat undi diri sendiri

PORT DICKSON - Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyifatkan dirinya bertuah berbanding calon lain kerana dapat mengundi diri sendiri.

Beliau yang tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Linggi jam 11.15 pagi ditemani empat anaknya iaitu Mohd Najib, 40, Megawati, 37, Juhaida, 29, dan Lelawati, 34.

Namun hanya Mohd Isa yang mengundi di sekolah berkenaan dan anak-anaknya di lokasi berbeza.

"Nasib mereka tak baiklah, saya nasib baik kerana boleh mengundi dan saya juga seronok kerana empat anak saya semuanya mengundi di Port Dickson.

"Biasa kita undi orang lain, tapi hari ini saya undi diri sendiri. Kiranya saya dah mendahuli calon-calon lain," katanya secara berseloroh.

Ditanya adakah beliau tidur nyenyak malam tadi, Isa memberitahu sudah semestinya kerana menghadapi pilihan raya bukan perkara baharu baginya.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan, tetapi berharap dirinya diberi peluang.

"Kalau ada rezeki menanglah... tak tahulah, banyak sikit, tiada beza pun. Kalau dapat 1,000 pun menang juga.

"Saya harap ramai yang turun mengundi. Kalau peratus tak tinggi, mungkin orang dah letih sebab tiba-tiba ada sekali lagi pilihan raya dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya andai kata peluang tidak berpihak kepadanya adakah beliau akan bersara dari politik, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, bergantung kepada keadaan pada waktu itu kerana politik susah dijangka.

Bagaimanapun beliau tidak merasakan prestasinya terjejas kerana telah memenangi sembilan pilihan raya yang dihadapinya sebelum ini.

"Kalau tak menang pun saya masih 'champion'," katanya.

Mohd Isa Abdul SamadPRK Port Dickson