Pengundian PRK Port Dickson hari ini

PORT DICKSON - Seramai 68,317 pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mengundi hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata keputusan PRK berkenaan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan ditugaskan di 32 pusat pengundian yang membabitkan sebanyak 154 saluran dan akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

SPR menjangkakan 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.

Selain itu, seramai 800 anggota polis ditugaskan menjaga perjalanan proses pengundian itu termasuk dalam aspek keselamatan lalu lintas.

Proses pengundian itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan dan pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik SPR, juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.

Dalam pertandingan tujuh penjuru itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah dua nama besar yang akan merebut kerusi berkenaan manakala Pas meletakkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Empat calon bebas yang lain ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, satu-satunya wanita yang menjadi calon.

Mohd Isa juga satu-satunya calon yang mengundi dan dijangka berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dun Sungai Kandis, Dun Seri Setia dan Dun Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas PRU14, 9 Mei lalu.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undang Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).- Bernama

Anwar IbrahimMohd Isa Abdul SamadMohd Saiful Bukhari AzlanStevie Chan Kee LeongLau Seck YanKan Chee YuenPRK Port Dickson