Mohd Isa satu-satunya calon tempatan

PORT DICKSON - Berbanding calon lain, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas pada PRK Parlimen Port Dickson boleh dikatakan mendahului undi kerana hanya beliau merupakan calon tempatan.

Meskipun dilahirkan di Melaka iaitu kampung ibunya, tetapi beliau dibesarkan di Bagan Pinang di sini, dan sudah tentu hari ini undinya adalah untuk diri sendiri.

Isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, Mohd Isa akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Linggi manakala empat anaknya termasuk Mohd Najib yang merupakan Ketua Pemuda Umno Port Dickson turut mengundi di Port Dickson.

"Jadi semestinya Tan Sri telah mendahuli calon lain kerana sudah pasti undinya adalah untuk diri sendiri sedangkan calon lain semuanya orang luar.

"Malah ahli keluarga Tan Sri dan keluarga arwah isterinya dahulu yang berasal dari Kampung Baru Sri Rusa kesemuanya lebih kurang 300 orang bersedia memberi sokongan kepada Tan Sri," katanya.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pengundi Port Dickson untuk membuat penilaian pemimpin mana yang mereka harapkan.

Untuk rekod, Mohd Isa bukanlah nama asing buat penduduk di Negeri Sembilan khususnya Port Dickson, apatah lagi beliau pernah menjadi menteri besar negeri ini selama 22 tahun, sejak 1982.

Malah bekas Pengerusi Felda itu juga menyifatkan dirinya sebagai 'anak jati Port Dickson'.

Bapa kepada empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan, memulakan karier politiknya bersama Umno pada sekitar tahun 1972 dan pernah menjadi Adun Linggi pada 1978 sehingga 1982, ADUN Bagan Pinang (1986-2004) dan Anggota Parlimen Jempol (2004-2008).

Mohd Isa, yang juga bekas guru, pernah memegang jawatan anggota Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang pada 1972 sehingga 1976, Naib Ketua Pemuda Umno Telok Kemang (1976-1978), Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang (1978-1982), Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan (1980-1982), Ketua Umno Bahagian Telok Kemang (1982-2017), Anggota Majlis Tertinggi Umno (1990-1993) dan Naib Presiden Umno (2004-2005).

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, Port Dickson dan kemudiannya di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya, Mohd Isa mendirikan rumah tangga bersama Puan Sri Hazizah Tumin pada 26 Nov 1977. Hazizah meninggal dunia pada 7 Dis 2005 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur akibat kanser dan kemudian berkahwin dengan Bibi Sharliza yang merupakan bekas Setiausaha Pergerakan Puteri Umno.

Mohd Isa Abdul SamadPRK Port Dickson