Hias lori dengan poster pemimpin demi kempen PH

PORT DICKSON - Tibanya musim pilihan raya, semua calon dan jentera berlumba-lumba mencipta pelbagai kempen kreatif bagi membantu calon pilihan mereka.

Begitu juga kisahnya dengan ahli PKR, Datuk Dr K Ramachandran yang mempunyai cara tersendiri berkempen untuk PH dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Demi sokongan kepada parti, beliau menjadikan sebuah lori kontena miliknya sebagai bahan kempen dengan menampal poster gergasi pemimpin PH pada lorinya itu.

“Kalau ikutkan lori ini dah siap semasa PRU14 lagi dan cara ini memang berjaya. Sebulan saya pusing Malaysia, berkempen menggunakan lori ini.

“Kali ini saya buat di PRK Port Dickson pula, dah seminggu saya berada di sini. Di Port Dickson pun, saya rasa cara ini berjaya.

“Bila kami berhenti, memang ramai tertarik, ramai nak ambil gambar. Malah, ada sedutan video juga dipaparkan kepada orang awam dari atas lori ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga bekas calon PKR bagi Dun Batang Kali dalam PRU13 berkata, lori itu juga boleh dijadikan pentas berceramah malah beberapa pemimpin PKR juga pernah berucap di atasnya.

“Kalau nak ceramah, boleh guna lori ini, boleh jadi pentas juga. Ramai Ahli Parlimen dan Adun pernah berucap atas pentas ini.

“Naib Presiden, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pun pernah berucap di atas lori ini,” ujarnya.
 

 

PRK Port Dickson