PRK Port Dickson: Polis siap siaga hari pengundian

PORT DICKSON - Polis berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi hari pengundian PRK Port Dickson, esok.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata segala persiapan merangkumi sumber manusia dan logistik adalah mencukupi dengan pemantauan menyeluruh di terutama di pusat-pusat mengundi.

Menurutnya, seramai 800 anggota polis dari seluruh kontinjen Negeri Sembilan diatur gerak bagi bantuan penugasan bagi memastikan kelancaran proses pengundian berjalan lancar.

"Bagi lalu lintas, tiada sebarang penutupan jalan dibuat, tetapi akan ada lencongan dijangka pada jam 6 petang di lampu isyarat premis Al-Ikhsan hingga lampu isyarat kilang penapis minyak Petron.

"Pengundi digalakkan untuk hadir awal di pusat pengundian dan membuat perancangan  memandangkan faktor cuaca tidak menentu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, pengundi diminta untuk patuhi arahan ditetapkan dan usah melakukan sebarang bentuk provokasi dan hasutan.

Katanya, bagi memastikan kelancaran waktu pengundian, penyokong parti perlu mengelak daripada meraih undi kira-kira 50 meter dari pusat mengundi.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 141 permohonan permit ceramah dan kempen telah diluluskan.

"Sehingga kini, sebanyak 48 laporan polis telah diterima dan tiga kertas siasatan telah dibuka yang mana satu daripadanya telah selesai," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN : Tujuh penjuru di PRK PD]

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Oktober sebagai hari pengundian awal, manakala 13 Oktober sebagai hari pengundian.

PRK Port Dickson