PRK pertama bebas guna jentera kerajaan

PORT DICKSON - PRK Parlimen Port Dickson merupakan pilihan raya pertama bebas daripada penggunaan jentera kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, dakwaan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan jentera kerajaan timbul kerana ada yang kurang faham dengan istilah tersebut.

Menurutnya, mungkin ada yang masih kekok memandangkan mereka tidak pernah melihat keadaan sebegitu, pilihan raya tanpa penglibatan jentera kerajaan.

“Saya rasa mungkin ada yang kurang faham lagi memandangkan ini kali pertama secara terang dan jelas tak guna jentera kerajaan.

“Mungkin ini kali pertama sejak 1959 atau dalam masa empat dekad, kita saksikan satu PRK yang berlaku tanpa penggunaan jentera kerajaan.

“Apa maksudnya semua ini? Sepatutnya inilah cara pilihan raya yang patut dilakukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, semalam.

Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga menggunakan kenderaan sendiri semasa menghadiri Hari Penamaan Calon pada 29 September lepas.

“Cuma kita tak boleh pisahkan pasukan keselamatan dengan beliau. Mungkin ramai rakyat Malaysia tak pasti macam mana proses itu berlaku.

“Datuk Seri Anwar juga kata ini kali pertama sejak beliau terlibat politik, parti pemerintah tidak menggunakan jentera kerajaan semasa berkempen,” ujarnya.

Katanya lagi, parti pemerintah perlu membudayakan pemahaman wujudnya perbezaan antara parti politik dan juga kerajaan.

“Jawatan seperti menteri semuanya kekal namun orang yang pegang jawatan itu berubah. Itulah yang kita kritik parti pemerintah terdahulu.

“Bila ada pilihan raya, ada jalan tar baru. Bila pilihan raya saja, umum projek mega. Kita nak kikis budaya sebegitu,” ujarnya.

Anwar IbrahimPRK Port Dickson