SEREMBAN – Jawatankuasa Pakatan Harapan bagi PRK Parlimen Port Dickson, sedang merangka beberapa strategi untuk memastikan peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini mencapai sasaran 70 peratus.
Pengarah Pilihan Raya PRK Parlimen Port Dickson PH, Aminuddin Harun berkata, ini termasuk memastikan 35 peratus pengundi berdaftar yang berada di luar Port Dickson bersama-sama mengundi pada PRK kali ini.
“Matlamat kita adalah memastikan pengundi keluar mengundi dan mereka yang berada di luar kawasan dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab.
“Antara yang sedang kita rancang termasuk menyediakan pengangkutan percuma untuk pengundi yang berada di luar kawasan dan kita juga buka kepada mana-mana pihak yang sudi menawarkan perkhidmatan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, sehingga kini beliau berpuas hati dengan sambutan penduduk Port Dickson sepanjang perjalanan kempen PRK.
“Setiap malam sebelum menutup tirai kempen, kami akan berbincang mengenai sambutan yang diterima dan perancangan kempen untuk hari esok.
“Ini bagi memastikan kempen yang dijalankan setiap hari sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi.
Pada PRU14, 9 Mei lalu, penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas Danyal Balagopal, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. - Bernama