SHAH ALAM - Calon PH, Halimey Abu Bakar menang kerusi Dun Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi.
Halimey memperoleh 13,725 undi menewaskan pencabarnya dari Pas, Dr Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.
Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.
"Saya mengisytiharkan keputusan PRK Dun Seri Setia yang diperolehi ialah Halimey Abu Bakar-PH 13,725 undi dan Dr Halimah Ali-Pas, 9,698
"Jumlah undi yang ditolak 164 dan dengan ini saya isytiharkan Halimey dari PH telah dipilih sebagai Adun bagi PRK Dun Seri Setia," katanya.
Halimey merupakan bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan merupakan anak tempatan di Seri Setia.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood memaklumkan pihaknya akan meneliti dan membuat post mortem selepas ini berhubung peratusan pengundi yang rendah.
"Seperti diumumkan tadi, Dun Balakong mencatatkan peratusan terendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
"Kita akan melihat punca utama menyebabkan peratusan mengundi ini rendah walaupun pelbagai promosi telah dilaksanakan sebelum ini," katanya.
Mengulas mengenai pemilihan hari mengundi, Othman berkata, pihaknya memilih minggu panjang untuk melaksanakan PRK pada kali ini bertujuan bagi membolehkan pengundi luar pulang mengundi.
Di samping itu, beliau berkata, proses pengundian turut berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat bai menjayakan PRK pada kali ini," katanya.