Halimey rancang tubuh Rumah Ngaji

PETALING JAYA - Penganjuran program-program ilmu dan keagamaan bagi umat Islam tidak sesekali diabaikan sebaliknya ia akan terus mendapat sokongan pentadbiran kerajaan negeri.

Calon PH, Halimey Abu Bakar berkata, beliau akan berusaha memastikan penganjuran program-program keagamaan akan diberikan peruntukan khusus bagi memastikan penerapan nilai dan cara hidup Islam terus subur dan terpelihara, khususnya di kawasan Dun Seri Setia.

Malah, Halimey berkata, sekiranya dipilih sebagai Adun pada 8 Sepetember ini, beliau bercadang untuk menubuhkan Rumah Ngaji di setiap blok pangsapuri di kawasan Dun Seri Setia bagi menyemarakkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam.

"Program-program ini adalah wadah Islamik paling praktikal disasarkan kepada golongan belia untuk pemantapan diri dan pembentukan kerohanian yang murni," katanya ketika sidang media sempena kempen PRK Dun Seri Setia.

[ARTIKEL BERKAITAN: Halimey yakin raih undi penyokong Pas, Umno]

Selain itu, katanya, program kesedaran terhadap cara hidup dan nilai-nilai Islam juga akan diperluaskan lagi dan tidak hanya tertumpu di masjid atau di surau sahaja.

"Program yang telah terbukti keberkesanannya seperti 'Food Bank' atau Bank Makanan seperti dilaksanakan sesetengah masjid juga akan diperluaskan ke seluruh kawasan Dun Seri Setia.

"Bagi meningkatkan lagi kualiti dan penyaluran ilmu secara berkesan di masjid-masjid, saya juga bercadang supaya tokoh dan ilmuwan agama terkenal dijemput untuk memberi kuliah ke masjid-masjid di seluruh kawasan Dun Seri Setia ini.

"Ini bertujuan supaya penyaluran ilmu dapat dilakukan secara meluas, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai umat Islam setempat," katanya.

Halimey Abu BakarPetaling Jaya PRK Seri Setia
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :